Friday, 23 Apr 2021
You are here: Home
Warga emas hilang RM3.81 juta angkara penipuan geran bantuan tidak wujud PDF Print E-mail
Written by admin3   
Monday, 15 February 2021 14:41

Image result for scamIsnin, 15 Februari 2021 @ 1:42 PM
Johor Bahru: Seorang warga emas berputih mata apabila hilang RM3.81 juta selepas terjerat penipuan tawaran geran bantuan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah, berkata episod malang lelaki berusia 74 tahun itu bermula selepas dia berkenalan dengan individu dikenali Freddie Khoo di Facebook pada Julai lalu.

Katanya, suspek menawarkan Geran Bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kira-kira USD 150,000 (RM 605,056.46) kepada mangsa.

"Suspek berhubung menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan nombor +14697370743 dengan mangsa sebelum lelaki itu membuat bayaran pendahuluan RM12,800.

"Suspek kemudiannya menaikkan tawaran kepada USD 900,000 (RM3.63 juta) supaya mangsa dapat membuat pembayaran lebih untuk mendapatkan geran itu.

"Sepanjang Julai hingga Disember tahun lalu, sebanyak 64 transaksi dibuat ke dalam 10 akaun bank tempatan berjumlah RM3.81 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salleh berkata, mangsa merasakan dirinya ditipu selepas tidak mendapat geran seperti yang dijanjikan, selain dimaklumkan geran bantuan yang ditawarkan sudah ditamatkan dan perlu membuat permohonan baharu semula.

Katanya, susulan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Tampoi di sini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Masyarakat perlu lebih berhati-hati dan berwaspada, sentiasa membuat semakan awal latar belakang individu yang berurusan termasuk mendapatkan maklumat lanjut dengan pihak berkaitan seperti Bank Negara mengenai kewujudan geran bantuan yang ditawarkan," katanya.

 

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/674676/warga-emas-hilang-rm381-juta-angkara-penipuan-geran-bantuan-tidak-wujud

Last Updated on Tuesday, 16 February 2021 16:03