Thursday, 28 Mar 2024
You are here: Home
ISU DAN CABARAN DALAM E-DAGANG PDF Print E-mail
Friday, 05 February 2016 08:49

Perniagaan atas talian menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit

Berdasarkan rekod aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), aduan tertinggi adalah mengenai E-dagang (pembelian atas talian). Sejumlah 7,641 aduan telah dibuat pada tahun 2014 dengan kerugian berjumlah berjuta-juta ringgit. Ini memberi satu gambaran bahawa pembelian atas talian mempunyai risiko yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pembelian secara tradisional.

Faedah perniagaan atas talian

Jaringan internet memberikan peluang kepada para pengguna untuk mencari maklumat, membuat semakan mengenai sesuatu produk, dan yang paling penting, membolehkan pengguna berurus niaga secara atas talian.

Pada hari ini, para pengguna lebih memilih untuk berurus niaga secara atas talian. Hal ini didorong oleh beberapa faktor, antaranya barangan yang ingin dibeli lebih murah ataupun bermutu tinggi. Dengan pembelian atas talian, pengguna dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga. Pengguna hanya perlu melayari laman sesawang penjual untuk melihat barangan yang hendak dibeli, dan hanya perlu klik sahaja, untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang diingini.

 

E-dagang bukan sahaja membawa manfaat kepada para pengguna, malah juga kepada pihak penjual. Urus niaga secara atas talian adalah lebih efisien dan mengurangkan kos perniagaan. Syarikat dan usahawan kecil dan sederhana (SME) boleh meraih faedah daripada E-dagang kerana penjual dapat mencapai lebih banyak potensi pembeli berbanding cara tradisional. Pengguna juga mendapat faedah daripada E-dagang dengan peluang pilihan yang lebih banyak, maklumat produk yang lebih terperinci, kos pengeluaran yang lebih rendah dan juga servis yang lebih responsif.

Penggunaan E-dagang membolehkan peruncit dan pembekal perkhidmatan pengguna untuk mewujudkan rantaian bekalan dan pelanggan-pelanggan utama di peringkat negara dan antarabangsa dengan lebih cepat dan murah berbanding model perniagaan tradisional. Di samping itu, mereka tidak perlu untuk melabur dalam aset-aset seperti kedai, kemudahan riadah , pergudangan dan pengangkutan


Risiko perniagaan atas talian
Kebanyakan pengguna tidak menyedar tentang masalah-masalah yang mungkin timbul dan tidak memahami bahawa syarat-syarat kontrak yang mereka persetujui ketika berurus niaga atas talian adalah sama dengan kontrak tradisional.

Aduan yang diterima oleh NCCC

-    Produk yang dibeli tidak diterima

-    Maklumat tidak mencukupi. Sebagai contoh, polisi pembayaran balik (refund policy) kepada pengguna.

-    Produk diterima dalam keadaan  kurang memuaskan / rosak

-    Kualiti produk yang rendah

-    Penghantaran produk yang menjangkau masa yang dipersetujui atau dijanjikan

-    Produk yang diterima tidak sama dengan apa yang tertera atas talian

-    Sukar untuk memulangkan barangan yang rosak

-    Tidak ada cara yang pasti untuk membatalkan kontrak yang disetujui secara atas talian

Senarai yang dinyatakan di atas adalah tidak menyeluruh dan jumlah kerugian yang dialami adalah lebih rendah daripada dijangka kerana hakikatnya terdapat ramai pengguna yang tidak membuat aduan terhadap peniaga kerana mereka tidak mengetahui hak-hak mereka.


Inisiatif yang diambil oleh NCCC
Berdasarkan input-input yang dinyatakan sebelum ini, NCCC berpendapat bahawa masalah berkaitan E-dagang perlu diberikan lebih perhatian dan harus ditangani dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan dan perubahan pesat dalam teknologi hari ini.

1. Memorandum
NCCC akan menghantar memorandum kepada kerajaan bagi mencadangkan penambahbaikan yang mampu memperkukuh dan melindungi kepentingan pengguna berkaitan pembelian atas talian di Malaysia. Antara cadangan adalah untuk  meminda undang-undang yang lama, mewujudkan kesedaran, mendidik orang ramai mengenai hak mereka dan pembaharuan terhadap undang-undang yang sedia ada untuk melindungi pengguna atas talian

Bagi memastikan undang-undang dapat mengendalikan masalah E-dagang yang kompleks, seperti pengguna yang membeli barangan atas talian daripada penjual yang beroperasi di luar negara.

2. Risalah
NCCC juga akan menerbitkan panduan kepada pengguna mengenai pembelian atas talian. Risalah ini akan diedarkan kepada orang ramai, yang mengandungi garis panduan mudah dan amalan terbaik yang boleh diamalkan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pembelian atas talian.

Panduan untuk pengguna yang membeli secara atas talian

Berikut adalah beberapa amalan terbaik untuk pengguna:
·    Elakkan daripada membeli barangan yang diiklankan di laman sesawang yang tidak memberi penerangan yang jelas tentang barangan mereka.
·    Pastikan syarikat itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Jika mereka memaparkan nama perniagaan atau nombor pendaftaran syarikat, anda boleh menyemak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tujuan pengesahan.
·    Pembayaran tunai atas penerimaan barangan (cash on delivery) adalah kaedah yang lebih baik. Apabila anda menerima barangan, pastikan anda menyemak barangan terlebih dahulu sebelum pembayaran. Sekiranya barangan tidak sepadan dengan barangan yang ditempah atas talian atau didapati telah rosak, anda boleh mengembalikan barangan tersebut dengan segera dan pengguna tidak perlu membayar.
·    Sekiranya anda mendapati barang-barang yang dibeli mengalami kerosakan, pengadu perlu menghubungi syarikat penjual dengan serta-merta. Sekiranya aduan tersebut diabaikan, pengadu haruslah membuat aduan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
·    Sekiranya peniaga menawarkan harga yang terlalu rendah, ada kemungkinan bahawa penjual tersebut tidak mempunyai barangan tersebut atau cuba untuk menjual barangan palsu. Anda perlu mengetahui tentang harga pasaran terkini sebelum anda membeli barangan tersebut.

Last Updated on Friday, 05 February 2016 08:54