Tuesday, 19 Mar 2024
You are here: Home Skim Cepat Kaya
Info Pengguna - Skim Cepat Kaya PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Wednesday, 28 October 2009 17:36

Apa Kata Bank Negara?

1. Apakah Skim Cepat Kaya?
Satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.

Skim "Cepat Kaya" yang berikut adalah dilarang di bawah undang-undang yang dikuat kuasakan oleh Bank Negara Malaysia:

Aktiviti pengambilan deposit secara haram
Aktiviti pengambilan deposit secara haram adalah suatu perbuatan menerima, mengambil, atau menyetujuterima deposit (wang, logam berharga, batu berharga, apa-apa artikel lain dan sebagainya) daripada orang awam atau pelabur, yang menjanjikan pembayaran semula deposit tersebut biasanya dengan faedah atau pulangan atau dengan sebarang balasan yang berupa wang atau nilaian wang, tanpa mempunyai satu lesen yang sah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Urus niaga mata wang asing haram
Perbuatan yang berikut tergolong kepada urus niaga mata wang asing haram:

  1. Membeli atau menjual mata wang asing di antara dua orang dan tiada seorang daripada mereka adalah seorang peniaga yang diberi kuasa melainkan jika orang itu telah mendapatkan kebenaran daripada Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW).
  2. Membeli atau menjual mata wang asing oleh seorang pemastautin yang bukan seorang peniaga yang diberi kuasa dengan seorang di luar Malaysia melainkan jika orang itu telah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW.

AMARAN: Skim Pelaburan Melalui Internet
Orang awam diingatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang dipromosikan melalui internet. Sesetengah syarikat dan laman web yang menawarkan skim pelaburan melalui internet tidak dilesenkan atau diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia untuk mengambil deposit atau membuat urus niaga mata wang asing. Aktiviti sedemikian biasanya menawarkan pulangan pelaburan yang menarik atau peluang pelaburan yang membabitkan kadar pulangan yang tidak realistik dan tanpa risiko atau berisiko rendah.

Pelabur adalah diingatkan supaya membuat deposit hanya dengan institusi yang berlesen atau menjalankan urus niaga mata wang asing dengan institusi yang diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia agar mereka boleh mendapat perlindungan yang sepatutnya. Pengendali tidak berlesen boleh berhenti menjalankan perniagaan mereka yang menyebabkan pelabur-pelabur tidak mempunyai apa-apa cara untuk mendapatkan semula wang pelaburan mereka atau membuat tuntutan terhadap mana-mana orang yang terbabit dengan skim tersebut.



2. Bagaimanakah untuk mengesan Skim Cepat Kaya?

Skim pengambilan deposit secara haram
Orang berkenaan (individu, syarikat atau organisasi) menerima, mengambil atau menyetujuterima deposit daripada orang awam tidak mempunyai lesen di bawah seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989;

Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit dengan atau tanpa faedah atau pulangan (faedah atau pulangan pelaburan dijanjikan untuk dibayar dalam suatu tempoh masa dan dalam bentuk wang atau nilaian wang, sebagainya); dan

Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit pokok apabila pembayaran balik dituntut atau pada suatu masa atau mengikut hal keadaan yang dipersetujui oleh atau bagi pihak orang yang membuat bayaran itu dan orang yang menerimanya, dengan apa-apa balasan berupa wang atau nilaian wang (pembayaran pelaburan pokok adakalanya dimasukkan sekali dalam faedah atau pulangan tetap yang dijanjikan).

Amaran Untuk Pelabur

  • Aktiviti pengambilan deposit secara haram selalunya berselindung dengan pelbagai cara untuk menipu orang awam menjadi mangsa skim pelaburan haram, antaranya, melalui tawaran pemberian emas dan barang berharga yang lain sebagai sebahagian daripada pulangan yang dijanjikan. Selain itu, orang ramai juga disogok dengan dakwaan bahawa deposit itu diterima sebagai pinjaman kepada syarikat.
  • Aktiviti pengambilan deposit secara haram seringkali digambarkan mampu memberi kadar faedah atau pulangan yang tinggi atau tidak realistik dalam suatu masa yang singkat berbanding dengan institusi-institusi berlesen yang lain. Bagaimanapun, skim-skim seperti ini tidak boleh bertahan lama;
  • Jangka hayat skim-skim seperti ini bergantung kepada penyertaan pelabur baru di mana dana pelaburan yang diterima akan digunakan untuk pembayaran dividen kepada pelabur lama. Sekiranya syarikat pengendali gagal mendapatkan pelabur baru, skim ini akan gagal kerana ketiadaan sumbangan dana dari pelabur baru.
  • Pada permulaannya, pelabur-pelabur awal akan dibayar pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan. Bagaimanapun, akhirnya pengendali akan melarikan diri dengan wang deposit yang dipungut apabila pengendali mendapati skim akan mengalami kegagalan yang akhirnya menjadikan pelabur rugi.

Skim urus niaga mata wang asing haram

  • Urus niaga mata wang asing dengan seseorang, selain daripada seorang yang diberi kuasa, yang tidak mendapat kebenaran oleh Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW sering:
  • Menawarkan kepada pelabur atau orang awam peluang untuk berurus niaga mata wang asing dengan syarikat induk (yang kononnya mempunyai lesen sah untuk berurus niaga mata wang asing di luar negara);
  • Memudahkan urus niaga mata wang asing dengan menyediakan akses kepada laman web syarikat induk dan kemudahan urus niaga melalui internet;
  • Menggaji lepasan siswazah sebagai eksekutif pemasaran dan mempengaruhi mereka supaya membuat ahli keluarga mereka membuat pelaburan;
  • Mengarahkan pelabur-pelabur untuk mendeposit wang pelaburan sama ada ke dalam akaun bank syarikat induk atau akaun bank pihak ketiga; dan
  • Mempengaruhi pelabur-pelabur untuk menambah jumlah pelaburan ("panggilan margin") atau menghadapi risiko kehilangan pelaburan mereka .

Amaran untuk Pelabur
Pengendali skim mata wang asing haram akan cuba menyakinkan bakal-bakal pelabur dengan strategi pasaran yang menjanjikan pulangan segera dan tinggi-

  • Melalui penampilan imej yang profesional dan bereputasi dengan barisan pekerja yang berpakaian segak, keadaan pejabat yang bercirikan teknologi tinggi dan kemudahan IT yang terkini yang memudahkan pelabur-pelabur untuk mengendalikan akaun-akaun mereka melalui internet;
  • Dengan peralatan urus niaga seperti suatu skrin berita yang menunjukkan pergerakan dalam kadar pertukaran untuk memberi gambaran bahawa sesuatu perniagaan yang profesional dan sah di sisi undang-undang sedang dijalankan;
  • Kebiasaannya, pelabur juga dikehendaki untuk menandatangani satu kontrak urus niaga dengan syarikat. Kontrak-kontrak ini sering tidak ditandatangani oleh syarikat. Ini bermakna tiada tindakan boleh diambil oleh pelabur terhadap syarikat kerana tiada kontrak formal yang mengikat.

3. Bagaimanakah untuk melindungi diri daripada terjebak dengan skim seperti ini?

  • Ingatlah pada kata hikmat ini - Sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal, berkemungkinan besar merupakan satu penipuan;
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga mata wang asing yang di beri kuasa;
  • Semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkaitan;
  • Jangan gopoh atau membiarkan diri dipaksa untuk melabur;
  • Berhati-hatilah dengan pelaburan yang dibuat melalui internet;
  • Berwaspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis; dan
  • Jika suatu pelaburan telah dibuat, simpan kesemua dokumen yang berkaitan dengan pelaburan dan komunikasi dengan selamat.

4. Apakah yang perlu anda lakukan sekiranya anda menjadi mangsa skim seperti ini?

Jika anda mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti pengambilan wang secara haram atau urus niaga mata wang asing secara haram atau anda sendiri adalah mangsa kepada aktiviti atau skim haram seumpamanya tersebut , sila hantar maklumat lanjut atau aduan anda beserta dengan dokumen berkaitan kepada Bank Negara Malaysia seperti berikut:

Sumber Bank Negara.

Untuk aduan/laporan sila mengantar aduan anda ke NCCC/Bank Negara. Terima Kasih.

Bersama sama kita menjadi konsumer Bijak.

 

Complaint Handling Manager
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional
National Consumer Complaints Centre

Last Updated on Wednesday, 18 March 2015 14:34