Wednesday, 24 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2009 UM : Warga Nigeria menipu dipenjara 16 bulan
UM : Warga Nigeria menipu dipenjara 16 bulan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 14:45

 25 Mac 2009 Rabu

Warga Nigeria menipu dipenjara 16 bulan

KUALA LUMPUR 24 Mac - Seorang wanita warga Nigeria dihukum penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah menipu seorang kakitangan awam mengenai hadiah kemenangan bernilai AS$1 juta (RM3.6 juta), tahun lalu.

Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Peace Okotie, 26, yang didakwa di atas dua pertuduhan iaitu, menipu dan tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.

Okotie yang merupakan pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan di sebuah kolej swasta di sini didakwa menipu Buang Md. Sayuti, 42, dengan memperdaya mangsa mempercayai bahawa dia boleh menguruskan proses membawa masuk hadiah Microsoft 2008 sehingga mangsa itu menyerahkan AS$2,750 (RM9,969.85) kepadanya.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 19 Ogos 2008, Buang yang bertugas sebagai pegawai tadbir telah mendapat e-mel mengenai kemenangannya dalam cabutan bertuah yang melayakkan dirinya mendapat wang AS$1 juta.

Sebagai syarat, dia menghantar maklumat diri dan kemudian diumumkan sebagai pemenang keempat.

Selepas enam hari, mangsa mendapat satu panggilan telefon dari tertuduh yang memperkenalkan diri sebagai Sophia Young yang memberitahunya barangan dari London sudah sampai, namun Buang perlu membayar AS$2,750 sebagai bayaran caj pengurusan untuk mengeluarkan barangan tersebut daripada gudang simpanan di United Kingdom.

Buang yang merasa kurang yakin, kemudian menghubungi polis bagi membantunya semasa berjumpa tertuduh.

Setelah siasatan dilakukan, didapati hadiah berkenaan tidak wujud dan tertuduh berada di sini menggunakan pas pelajar yang telah tamat tempoh.

Tertuduh diwakili peguam B. Renuka, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya itu tidak mendapat manfaat di atas perbuatan itu dan menanggung beban hutang yang banyak di negaranya.