Thursday, 18 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2009 Tarik kereta
Tarik kereta PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 14:20

Harap pengguna tidak takut pada tukang tarik kereta.

PEGAWAI POLIS pun tak boleh masuk mana-mana kawasan rumah tanpa waran dikelurkan oleh mahkamah. Ini pula orang awam bawa surat bank.

Pengguna tertunggak hutang harus berrunding dengan bank untuk jadual semula ansuran. Jika pegawainya enggan berhubung dengan ibu pejabat ataupun Bank Negara, AKPK, FMB,...

Buat desakan terusan hingga bank buat keputusan.

Jangan biarkan tunggakan jadi GUNUNG! Tiada siapa yang boleh bantu selesai hutang anda melainkan anda sendiri.

Sila melaporkan watak-watak yang menjalankan penarikan kereta secara tidak beretika. Sila baca dibawah.

Ikhlas,
Muhammad Sha'ani b. Abdullah
NCCC
23/04/2009

MENARIK BALIK KENDERAAN BERMOTOR
Sebagai penyewa, anda hendaklah memastikan bahawa ansuran bulanan dibayar mengikut jadual. Syarikat kewangan boleh menarik balik kenderaan bermotor yang disewa kepada anda bila:

  1. Anda ingkar membayar dua ansuran berturut-turut atau ansuran terakhir
  2. Jika penyewa meninggal dunia, keingkaran berlaku untuk empat ansuran berturut-turut


SIAPAKAH YANG BOLEH MENARIK KENDERAAN BERMOTOR ANDA?
Biasanya syarikat kewangan akan melantik penarik yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia untuk menarik balik kenderaan bermotor. Sebelum menarik balik kenderaan bermotor, penarik mestilah menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat arahan penarikan yang dikeluarkan oleh syarikat kewangan yang membenarkan penarik mengambil kenderaan bermotor tersebut. Anda boleh meminta untuk melihat kad pengenalan dan kad kuasanya sebelum menyerahkan kenderaan bermotor anda.

PERILAKU PENARIK
Penarik haruslah menunjukkan sikap profesional semasa menjalankan tugas menarik kenderaan bermotor daripada anda. Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia telah mengeluarkan "Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Perilaku Penarik" untuk dipatuhi oleh penarik dan untuk melindungi kepentingan penyewa. Di antara peraturan tersebut adalah seperti berikut:
  1. Penarik hendaklah menunjukkan kepada penyewa Perintah Penarikan dan kad kuasa yang diberi oleh syarikat kewangan sebelum menarik kenderaan bermotor
  2. Mereka yang ditugaskan untuk menarik kenderaan bermotor hendaklah seminimum mungkin, melainkan dalam keadaan yang memerlukan kumpulan yang lebih ramai
  3. Penarik hanya boleh memasuki premis dengan izin penghuninya atau penyewa kenderaan bermotor itu sendiri
  4. Penarik hendaklah kelihatan profesional dan bertindak secara profesional
  5. Bertindak secara kekerasan dan paksaan adalah dilarang sama sekali
  6. Penyewa hendaklah diberi masa yang mencukupi untuk mengeluarkan barang-barang peribadi daripada kenderaan bermotor yang akan ditarik
  7. Selepas kenderaan bermotor ditarik, penarik hendaklah membuat laporan polis dengan serta-merta dan membawa kenderaan bermotor tersebut ke tempat yang diarahkan oleh syarikat kewangan terbabit
Sekiranya penarik melanggar peraturan di atas, anda boleh membuat aduan kepada syarikat kewangan terbabit atau kepada Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia.


SEBELUM KENDERAAN BERMOTOR DITARIK
Syarikat kewangan anda seharusnya telah menghantar notis-notis berikut:
  1. Notis Jadual Keempat. Ini adalah merupakan notis bertulis 21 hari yang menyatakan hasrat syarikat kewangan untuk menarik kenderaan bermotor
  2. 14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat, notis kedua akan dikeluarkan untuk memberitahu anda bahawa syarikat kewangan berhasrat untuk menarik kenderaan bermotor selepas luput notis Jadual Keempat
Catatan:
Sila ambil perhatian bahawa menurut Akta SB, notis akan dihantar oleh syarikat kewangan itu sendiri atau melalui pos berdaftar ke alamat terakhir yang diketahui.

APA YANG PERLU ANDA BUAT?
  1. Anda boleh membayar jumlah tertunggak seperti yang tertera di dalam notis Jadual Keempat sebelum luput 21 hari seperti yang dinyatakan di dalam notis Jadual Keempat. Dengan berbuat demikian, kenderaan bermotor anda tidak akan ditarik balik
  2. Anda boleh memulangkan kenderaan bermotor kepada syarikat kewangan sebelum luput 21 hari notis Jadual Keempat. Anda akan dikehendaki menyelesaikan baki hutang selepas ditolak nilai kenderaan bermotor


TARIKH PENARIKAN
Penarikan boleh dijalankan pada bila-bila masa selepas luput 21 hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam notis Jadual Keempat.

SELEPAS KENDERAAN BERMOTOR DITARIK
Sebaik sahaja kenderaan bermotor anda ditarik, syarikat kewangan hendaklah memberi kepada anda dokumen bertulis yang mengesahkan penerimaan kenderaan bermotor tersebut. Sekiranya anda tidak dapat dihubungi, dokumen tersebut akan dihantar kepada anda secepat mungkin.

Dalam masa 21 hari selepas penarikan, syarikat kewangan akan memberi kepada anda dan setiap penjamin notis Jadual Kelima yang membenarkan anda membayar balik jumlah hutang kepada syarikat kewangan.

APAKAH TINDAKAN ANDA SETERUSNYA?
Sebelum tempoh 21 hari seperti yang tertera di dalam notis Jadual Kelima luput, anda boleh meminta syarikat kewangan untuk memulangkan kenderaan bermotor anda dengan:
  1. Menjelaskan semua jumlah yang tertunggak dan belanja tunai langsung (termasuk kos penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan, kos penarikan dan penghantaran balik) yang ditanggung oleh institusi kewangan; atau
  2. Membayar balik jumlah baki hutang sepenuhnya dan menyelesaikan semua belanja tunai langsung (termasuk kos penarikan, penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan
Anda boleh juga memperkenalkan seorang bakal pembeli yang berminat untuk membeli kenderaan bermotor anda pada harga yang ditetapkan dalam notis tersebut


HAK SYARIKAT KEWANGAN TERHADAP KENDERAAN BERMOTOR YANG DITARIK
Sekiranya anda atau penjamin anda tidak menyelesaikan jumlah belum jelas seperti yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari selepas notis Jadual Kelima dihantar kepada anda, syarikat kewangan berhak menjual kenderaan bermotor tersebut melalui lelongan awam atau jualan terus.

Sekiranya syarikat kewangan menjual kenderaan bermotor melalui:
  1. Lelongan awam, syarikat kewangan berkenaan perlu memberi sesalinan notis lelongan awam tersebut kepada anda, 14 hari sebelum tarikh lelongan
  2. Kaedah yang selain daripada lelongan awam, syarikat kewangan hendaklah memberi opsyen kepada anda untuk membeli kenderaan bermotor tersebut sekiranya syarikat kewangan berhasrat untuk menjual pada harga yang lebih rendah daripada harga anggaran yang ditetapkan di dalam notis Jadual Kelima

PROSEDUR PENARIKAN SECARA RINGKAS

Image



Catatan:
X ialah hari syarikat kewangan menghantar notis Jadual Kelima yang mana ia mestilah dalam masa 21 hari dari tarikh kenderaan bermotor ditarik.


BAKI HUTANG SELEPAS PENARIKAN
Anda dan penjamin masih bertanggungjawab untuk menyelesaikan baki hutang kepada syarikat kewangan walaupun kenderaan bermotor telah dilelong. Anda perlu juga menanggung perbelanjaan yang berkaitan dengan lelongan tersebut.

NASIHAT KEPADA PENYEWA
Kena Buat
  1. Pastikan bahawa semua perjanjian dibuat secara bertulis
  2. Baca setiap cetakan halus pada perjanjian bertulis
  3. Pastikan bahawa harga belian dan terma SB dalam perjanjian adalah sebagaimana yang telah dipersetujui
  4. Pastikan bahawa anda mampu membayar ansuran bulanan sepanjang tempoh pembiayaan
  5. Pastikan anda mengetahui hak-hak anda di bawah Akta SB
  6. Pastikan anda mengetahui tanggungjawab anda di bawah kontrak SB untuk memastikan bahawa anda tidak melakukan apa-apa tindakan yang melanggar kontrak
  7. Segala dokumen yang berkaitan perjanjian SB seperti surat perjanjian, resit dan sebagainya hendaklah disimpan di tempat selamat
  8. Semua pembayaran mestilah dibuat kepada orang yang diberi kuasa oleh syarikat kewangan
Jangan Buat
  1. Menandatangani perjanjian atau borang kosong atau dokumen yang tidak lengkap
  2. Menerima surat perjanjian yang tidak ditandatangani
  3. Menghilangkan sebarang dokumen berkaitan dengan perjanjian SB
  4. Membayar ansuran bulanan kepada seseorang, pengedar atau ejen yang tidak diberi kuasa oleh syarikat kewangan
  5. Gagal memaklumkan syarikat kewangan jika berlaku pertukaran alamat
  6. Menjual atau memindah hak milik atau menyerahkan kenderaan bermotor kepada pihak ketiga tanpa persetujuan syarikat kewangan