Tuesday, 30 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Bijak urus wang ceriakan keluarga
Berita Harian : Bijak urus wang ceriakan keluarga PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 15:17

23 Oktober 2007 

Ibu bapa perlu atur kegunaan pendapatan bulanan, elak terpaksa meminjam

UNTUK menjalani kehidupan seharian yang lebih selesa, pengurusan kewangan cukup penting. Perbelanjaan harus setimpal dengan pendapatan dan gaji bulanan yang diterima. Sebagai contoh, gaji kakitangan awam bulan ini sudah diterima pada 8 Oktober lalu, bermakna mereka harus mampu bertahan sehingga gaji bulan depan yang bakal diperoleh selepas 20 November akan datang.

Meskipun diketahui, Aidilfitri memerlukan ibu bapa berbelanja lebih besar berbanding bulan sebelumnya, mereka harus bijak mengatur dan mengurus pendapatan supaya tidak kekeringan hingga terpaksa meminjam bank, saudara mara atau menggunakan kad kredit yang tentunya menambah beban untuk membayar balik pinjaman.

Selepas pulang berhari raya di kampung, ada penghuni kota terus merayakan Aidilfitri di taman perumahan masing-masing dan kunjung mengunjung ke rumah jiran tetangga dan teman sepejabat. Sesetengahnya merancang mengadakan rumah terbuka terutama pada Sabtu dan Ahad yang tentunya memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.

Lebih menyedihkan, ada umat Islam tidak peduli dan tidak mengira perbelanjaan yang dikeluarkan asalkan dapat berhari raya dengan puas. Tidak keterlaluan jika dikatakan, ada di kalangan lupa diri ketika berbelanja seakan-akan gaji bulan ini yang diterima adalah satu pemberian khas untuk dihabiskan pada hari raya sehingga lupa bahawa mereka tidak akan menerima gaji lagi pada hujung bulan ini.

Jika dihitung, kakitangan kerajaan tidak akan menerima gaji dalam tempoh lebih sebulan setengah kerana kebanyakan mereka hanya akan menerima gaji seterusnya pada hujung bulan depan, satu tempoh yang pastinya akan menimbulkan episod lain pula dalam senario selepas Aidilfitri.

Lantaran itu, tidak mustahil akan muncul kelompok yang pada setiap malam, sebelum tidur memikirkan beban perbelanjaan dan sumber mendapatkan kewangan selepas gaji yang diterima dua minggu lalu habis dibelanjakan untuk memeriahkan ketibaan Syawal.

Ketika inilah, ansuran kereta dan rumah menjadi tertangguh kerana kebiasaannya bayaran dibuat setiap kali menerima gaji hujung bulan, caj kelewatan bayaran hutang kad kredit bertambah malah mungkin disekat, pelbagai bil termasuk elektrik, air dan telefon menjadi tertunggak serta pelbagai lagi beban kewangan lain akan terus menjadi beban kerana duit yang tinggal hanya 'cukup-cukup makan'.

Maka, episod itu akan mencipta lebih ramai ‘kaki pinjam’ yang akan mengetuk pintu institusi kewangan malah ada yang mungkin mengambil jalan singkat mengunjungi ceti haram atau along untuk menyelesaikan masalah ciptaan sendiri.

Ada yang mungkin bernasib baik terpaksa mengorek tabung atau mengeluarkan wang simpanan bagi menampung apa yang kurang, malah mungkin juga ada tanpa segan silu menggunakan dulu duit raya anak yang mungkin lebih besar jumlahnya daripada baki gaji yang tinggal.

Justeru, melihat kepada semua senario ini, pastinya ramai bersetuju bahawa kemudahan gaji awal yang diberikan kerajaan sebelum ini boleh menjadi beban pula kepada mereka yang tidak bijak menguruskan perbelanjaannya.

Pengarah Institut Pembangunan Negara, Profesor Dr Noor Azlan Ghazali, berkata gejala sebegini seharusnya tidak berlaku jika individu mampu membuat jangkaan pendapatan dan perbelanjaan bagi setiap tempoh termasuk musim perayaan.

Beliau berkata, masalah yang timbul setiap kali selepas musim perayaan ialah apabila individu itu sendiri mengamalkan corak perbelanjaan tidak mengikut norma kebiasaan pendapatan bulanannya.

Malah, sikap masyarakat yang mempunyai ilusi bahawa akan menerima gaji pada setiap hujung bulan menyebabkan mereka terbabas dalam menguruskan perbelanjaan sehingga memberi impak pada kehidupan seterusnya sementara menunggu gaji akan datang.

"Masyarakat kita selalu dibuai dengan sikap terlalu bergantung dengan kebiasaan. Jika tahun-tahun sebelum ini, kakitangan awam menerima bonus menjelang Aidilfitri, kali ini, tanpa bonus pun mereka berbelanja seakan-akan ada bonus. Itulah kesilapan yang mengheret mereka ke kemelut masalah.

"Sikap sebeginilah yang memberikan kesan bahaya ke atas corak perbelanjaan masyarakat apabila menganggap bonus sebagai sesuatu yang harus diterima setiap tahun. Sepatutnya, mereka perlu bijak membuat jangkaan bagi mengimbangi pendapatan yang sudah diterima dengan tempoh gaji akan datang," katanya.

Dr Nor Azlan berkata, alternatif meminjam selepas musim perayaan adalah satu langkah yang hanya akan mengundang lebih banyak masalah kerana pendapatan yang bakal diterima pada bulan akan datang tetap sama namun komitmen perbelanjaan akan bertambah kerana terpaksa membayar hutang.

Katanya, penyelesaian kepada masalah terlebih belanja dan tiada gaji dalam tempoh yang lama ialah hanya dengan mengatur semula perbelanjaan serta terpaksa mengurangkan aktiviti sosial lain yang memerlukan peruntukan kewangan.

Simpanan juga boleh digunakan untuk menampung kekurangan itu kerana tujuan sesuatu simpanan itu dibuat memang untuk menyelamatkan sesebuah keluarga daripada masalah atau beban yang tidak diduga. Justeru, jangan rasa sayang menggunakan wang simpanan sehingga memberi beban lain kepada penyimpan.

Mengulas mengenai sikap sesetengah ibu bapa yang terpaksa menggunakan duit raya anak untuk menampung masalah kewangan selepas hari raya, Noor Azlan berkata, masyarakat seharusnya tidak memandang sinis atau mencemuh mereka yang berkenaan kerana sekiranya tiada pilihan lain, langkah itu adalah lebih bijak daripada meminjam.

"Simpanan anak-anak adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa. Apa salahnya ibu bapa menggunakan sumber daripada satu keluarga jika sumber lain sudah kehabisan asalkan mereka pandai memastikan kebajikan dan masa depan anak tidak terabai.

"Namun, penggunaan sumber itu hanya boleh dilakukan sekiranya ada keperluan yang munasabah. Jangan pula ibu bapa menggunakan duit raya anak semata-mata untuk tujuan lain yang sebenarnya boleh dielakkan," katanya.

Apa yang jelas, pengurusan kewangan yang betul memang perlu untuk memastikan kehidupan keluarga lebih ceria. Keluarga yang hidup dibebani dan dibelenggu hutang akan berasa tidak tenteram dan sering mengeluh hingga boleh merosak keharmonian rumah tangga.