Tuesday, 30 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Rancang kewangan elak tekanan
Utusan Malaysia : Rancang kewangan elak tekanan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 15:07

ALAM persekolahan akan bermula beberapa minggu lagi. Pastinya ibu bapa sekarang ini merupakan golongan paling sibuk meluangkan masa dan wang ringgit untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak.

Bagi yang mendapat bonus hujung tahun daripada majikan tentu berasa lega kerana tidak perlu ‘menyelongkar’ almari mencari wang yang diharapkan ada tersorok di situ.

Namun, bagi yang hanya memperoleh pendapatan ‘cukup makan’ setiap bulan pastinya mula pening kepala.

Mungkin ramai daripada kita tidak sedar bahawa walau sekecil mana pendapatan yang diraih, tetapi jika mampu membuat perancangan kewangan dengan baik, pasti ‘pening kepala’ tidak timbul.

Belum terlambat rasanya untuk memberi panduan serta ingatan kepada pasangan ibu bapa untuk merancang kewangan mereka dengan bijak.

Perunding Kewangan Berdaftar, Zulkeplee Ahmad Sani mempunyai beberapa petua atau panduan tentang bagaimana merancang kewangan agar tidak mengalami situasi tekanan, terutama ketika hendak menyediakan keperluan anak-anak menjelang tahun baru persekolahan.

“Syarat utama dalam pengurusan kewangan ialah mesti tetapkan matlamat. Matlamat pula terbahagi kepada tiga bahagian - jangka pendek iaitu selama dua tahun, jangka sederhana untuk tempoh dua hingga lima tahun dan jangka panjang untuk lima tahun,” ujarnya ketika ditemui di Akademi Usahawan Utama, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, setelah menentukan matlamat mana yang ingin dibuat - sebaiknya mulakan dengan jangka pendek - ambil sekeping kertas bersaiz A4 catatkan bulan Januari hingga Disember.

“Buat seperti jadual dan catatkan bulan di mana kita terpaksa menggunakan jumlah wang yang banyak sebagai contoh, bulan cukai jalan tamat, cuti akhir tahun dan sebagainya.

“Bila kita sudah nampak bulan yang kita perlu mengeluarkan belanja yang besar, maka kita bolehlah mula menabung.

“Kalau dari awal kita sudah dapat lihat perjalanan kewangan dalam tempoh setahun, bila tiba masa untuk mengeluarkan sejumlah wang yang banyak, tiada masalah lagi,” jelasnya.

Menurut Zulkeplee, ramai yang terjerat apabila tiba bulan di mana terpaksa berbelanja besar seperti menyediakan keperluan sekolah anak kerana mereka tidak mempunyai perancangan dan matlamat.

“Selepas menentukan matlamat, pasangan suami isteri perlu membuat analisis aliran tunai. Caranya sama seperti membuat matlamat tadi cuma buat dua ruang, satu catatkan wang masuk dan satu lagi wang keluar.

“Bila ada carta, kita boleh lihat sama ada wang masuk lebih banyak dari keluar atau sebaliknya. Jika wang masuk lebih banyak maka ia petanda positif,” jelasnya.

Tambah Zulkeplee lagi, bagi pasangan suami isteri yang bekerja, mereka perlulah membuat belanjawan bersama-sama dan gabungkan pendapatan serta perbelanjaan keluarga.

“Saya pernah berdepan pengalaman di mana seorang pelanggan datang mengadu dia tidak mengetahui bebanan hutang suami setelah suami meninggal dunia.

“Akibatnya, isteri terpaksa menanggung beban hutang suami kerana masing-masing membuat belanjawan tanpa pengetahuan masing-masing,” cerita beliau lagi.

Daripada pengalaman tersebut, beliau berpendapat, adalah lebih baik jika pasangan suami isteri membuat perancangan dan menetapkan matlamat sehingga waktu usia persaraan mereka.

Beliau juga mengingatkan kepada setiap suami yang bekerja bahawa apa saja urusan kewangan dibuat akan memberi kesan kepada keluarga mereka.

“Apa yang penting bagaimana kita uruskan wang kita dan bagaimana kita menahan nafsu daripada berbelanja yang tidak mengikut keperluan sebenar keluarga kita,” ujar beliau lagi.

Kata Zulkeplee, adalah lebih baik jika dapat mengajak anak-anak sekali dalam membuat perancangan dan belanjawan keluarga.

“Contoh termudah, sebelum pergi membeli-belah di pasar raya, senaraikan barangan yang ingin dibeli. Dengan ini mereka sudah tahu yang ibu bapa memperuntukkan wang untuk perbelanjaan barangan yang telah disenaraikan sahaja dan mereka tidak bolehlah meminta sesuka hati,” katanya.

Selain itu, kata Zulkeplee lagi, sebagai ibu bapa yang bekerja, kita perlulah menambah ilmu tentang panduan menguruskan kewangan.

“Buat janji temu bersama perunding kewangan ataupun rajinlah datang menghadiri taklimat pengurusan kewangan.

“Persepsi yang menganggap perunding kewangan hanya untuk orang kaya sahaja harus diubah, sebenarnya ia untuk semua golongan supaya mereka tidak terjerat dengan corak perbelanjaan yang akhirnya mengundang masalah kepada diri mereka dan keluarga,” kata nya menutup bicara.

Panduan merancang kewangan

- Tetapkan matlamat (jangka pendek, sederhana atau panjang)

- Buat analisis aliran tunai

- Fahami kedudukan kewangan

- Imbangkan pendapatan (tambah pendapatan dan kurangkan hutang)

- Tambah ilmu pengurusan kewangan dengan membaca, berjumpa perunding kewangan dan mendengar taklimat.

 

25 Disember 2007