Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Tiga juta alami gangguan mental
Utusan Malaysia : Tiga juta alami gangguan mental PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 14:28
 23 November 2007
 
 
Sebanyak tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini mengalami gangguan mental, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Beliau berkata, kerajaan bimbang dengan masalah tersebut apatah lagi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kes gangguan mental meningkat hampir 6 peratus berbanding kajian sama yang dijalankan 10 tahun lalu.

Menurutnya, daripada tiga juta penduduk yang mengalami gangguan mental, sebanyak 20.3 peratus kes didapati membabitkan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun.

‘‘Antara faktor tekanan jiwa di kalangan remaja adalah kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, tekanan daripada keluarga dan sekolah serta tiada sokongan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2007 anjuran Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah di sini hari ini.

Soi Lek menjelaskan, terdapat murid sekolah tertekan kerana tidak mendapat semua A dalam peperiksaan dan kemudiannya mereka dihina.

‘‘Ada yang kata mereka bodoh serta tidak berguna untuk hidup, jadi mereka mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah dengan membunuh diri,’’ katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu juga, sebanyak 11.2 peratus adalah pesakit di kalangan orang dewasa dan 19.5 peratus di kalangan warga emas yang berusia melebihi 70 tahun.

‘‘Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

‘‘Kos perubatan untuk pesakit mental semakin tinggi manakala pesakit pula sering tidak mendapatkan rawatan awal kerana percayakan bomoh,” jelasnya.