Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Kelemahan tadbir alam sekitar jadi iktibar
Utusan Malaysia : Kelemahan tadbir alam sekitar jadi iktibar PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 14:17

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Kejadian kemusnahan alam, kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang berlaku ekoran kelemahan dalam perancangan pembangunan terdahulu perlu dijadikan iktibar dalam merancang pembangunan masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, ini kerana pembangunan tanpa mengikut peraturan yang telah ditetapkan akan mengundang bencana selain menyebabkan pembaziran.

Menurutnya, pembangunan perlu dilakukan untuk menjadi negara lebih maju tetapi peraturan yang dibuat perlu dipatuhi untuk mengelakkan kerugian jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Kita tidak mahu lagi tragedi tanah runtuh berulang seperti kejadian di Highland Towers di Ulu Klang yang mengakibatkan banyak nyawa hilang dan harta benda musnah.

“Kerajaan perlu memperhalusi perkara ini supaya tidak mendatangkan masalah pada masa akan datang,” katanya ketika melawat kawasan tapak pembinaan banglo di Medan Damansara di sini, hari ini.

Persatuan penduduk Medan Damansara membantah pembinaan 21 unit banglo yang berharga RM6.5 juta hingga RM10 juta bagi sebuah kediaman di lereng bukit hijau di Medan Damansara.

Menurut Shahrir, masyarakat negara ini mempunyai banyak pengalaman dalam kes membabitkan kejadian tanah runtuh justeru langkah tertentu perlu diambil untuk memastikan ia tidak berulang.

“Kita akui negara semakin maju dalam bidang pembinaan menerusi penggunaan teknologi serba canggih tetapi melalui pengalaman lalu didapati kita masih gagal untuk membuktikan perkara yang buruk tidak akan berulang.

“Kita sudah ada pengalaman dan peraturan yang ditetapkan. Jangan kerana kita mengejar pembangunan, nanti timbul pula masalah yang berlaku akibat kesilapan yang sama,” katanya.

Mengenai projek mewah itu, beliau berharap perbincangan dapat diadakan dengan penduduk tempatan bagi menangani perkara tersebut.