Sunday, 19 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Fomca pantau harga gas lindungi pengguna
Berita Harian : Fomca pantau harga gas lindungi pengguna PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:17

 

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengalu-alukan keputusan kerajaan tidak menaikkan harga gas asli selepas Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Tenaga.

Adalah penting jawatankuasa ini mengkaji implikasi kenaikan harga kepada industri dan juga pengguna secara umum. Bagaimanapun, kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan pada masa akan datang. Satu langkah jangka masa panjang patut dirumus untuk mengelakkan bebanan kepada industri dan pengguna.

Fomca sebelum ini menghantar Memorandum Penggunaan Tenaga dan Pengguna kepada Perdana Menteri pada 20 September lalu dan salinannya diberikan kepada kementerian berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam memorandum ini, Fomca mengemukakan tujuh perkara, yang pertama meminta mengkaji semula dasar negara yang berkaitan dengan tenaga agar satu dasar menyeluruh dirangka bagi mengatasi masalah berkaitan tenaga (pengurangan bahan api fosil dan ketiadaan sumber alternatif yang berterusan).

Perkara kedua menekankan kepentingan pendidikan pengguna yang berterusan dalam meningkatkan kefahaman mengenai krisis tenaga, sumber alternatif dan usaha meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di rumah dan industri.

Perkara ketiga meminta sistem solar atau ‘Sistem Photovoltaic’ (PV) dibangunkan untuk penggunaan domestik bagi membantu pengguna mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik daripada bahan api fosil.

Perkara keempat meminta sokongan daripada sektor tenaga yang boleh diperbaharui dan dibangunkan dengan pelan tindakan jangka pendek dan panjang. Perkara kelima menekankan pembangunan bahan api alternatif patut diperhebatkan dan tidak harus dijadikan monopoli.

Penyediaan infrastruktur untuk pengguna domestik menggunakan bahan api alternatif juga harus diperkasakan.

Perkara keenam pula menyatakan keperluan kawalan penguatkuasaan ke atas pemasaran peralatan bagi pengeluaran tenaga dan bahan api alternatif untuk melindungi pengguna daripada penipuan.

Dalam perkara ketujuh, Fomca menyeru agar pengguna diberi pilihan lebih mesra alam. Masalah penggunaan sumber bahan api secara tidak lestari tanpa pilihan menyebabkan pengguna tertekan tanpa pilihan. Adalah menjadi tanggungjawab sosial kerajaan dan industri untuk melaksanakan dasar yang menyokong keperluan tenaga berterusan dan mesra alam.

Fomca berharap kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya. Fomca juga akan sentiasa memantau keadaan ini untuk melindungi kepentingan pengguna di Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memutuskan cadangan Petronas untuk menaikkan harga gas selepas mengambil kira hasil kajian kesannya terhadap rakyat dan industri.

Perdana Menteri juga berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan jabatan berkaitan akan menyediakan kertas kerja mengenai harga gas dan perbandingan harga di Malaysia dengan negara lain untuk pertimbangan Kabinet.

DATUK MARIMUTHU NADASON,
Presiden
Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia (Fomca).