Thursday, 28 Mar 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Kemelut minyak dunia
Kemelut minyak dunia PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:36

KINI dunia sedang bergelut dengan konflik kenaikan harga bahan bakar meliputi minyak dan gas. Ia sekali gus turut memberikan kesan bersifat rantaian yang menyebabkan kos industri, pengangkutan serta sara hidup meningkat.

Dengan harga minyak mentah dunia di pasaran antarabangsa melebihi AS$90 setong, Malaysia perlu membayar lebih tiga kali ganda daripada harga jualan untuk pasaran berorientasikan nilai dolar Amerika Syarikat (AS).

Secara langsung, dengan kenaikan AS$1 sahaja di pasaran antarabangsa, maka ia memberikan gandaan belian dan jualan bagi bahan bakar tersebut. Ini disebabkan orientasi pasaran menggunakan dolar AS sebagai asas mata wang jual beli bahan mentah tersebut.

Dalam konteks pasaran Malaysia ia berkadar nisbah tiga kali ganda.

Maka, timbul persoalan, kenapakah Malaysia perlu membayar tiga kali ganda lebih mahal jika dibanding dengan harga di pasaran antarabangsa? Maka jawapannya mudah, kerana nilai semasa Ringgit Malaysia (RM) juga terikat dengan sistem mata wang antarabangsa yang berbeza-beza kadar tukarannya.

Maka sudah tentulah dengan kadar semasa pertukaran mata wang asing, di antara RM dan dolar AS maka dapat dilihat secara perbandingan semasa, nilaian RM berada pada kedudukan yang lebih rendah berbanding dolar AS.

Pada 19 Oktober 2007, ringgit didagangkan pada kadaran RM3.36 berbanding AS$1. Jika dibandingkan dengan kadaran sebelum krisis kewangan antarabangsa yang berlaku pada 1997, maka kadar RM2.50 berbanding AS$1 pasti lebih menguntungkan negara dalam perihal pembelian bahan mentah yang sedang meningkat masa kini.

Namun, apakan daya, menerusi sistem tukaran mata wang asing yang diamalkan dunia masa kini, Malaysia perlu menerima hakikat ‘pasaran’ yang dianggap penentu kepada kadaran tukaran mata wang semasa dunia.

Dengan kadar nilai mata wang negara yang secara nisbahnya berkadaran 1:3.36, negara perlu membiayai setiap satu dolar kenaikan harga bahan bakar tersebut di pasaran antarabangsa RM3.36.

Bayangkan jika harga kenaikan begitu mendadak. Ini kerana dalam masa yang singkat sahaja, harga minyak mentah telah melonjak melebihi AS$90 (RM302.4) setong pada 18 Oktober 2007 berbanding harga di pasaran pada dua hari sebelumnya pada harga hanya AS$- 87.96 (RM295.54) setong.

Walaupun kenaikan hanya pada kadar AS$2 sahaja, namun, secara realitinya, pasaran Malaysia terpaksa menanggung kenaikan sebanyak RM6.85. Sekali gus jika harga berterusan naik, iaitu mencecah AS$100 setong, maka nilaian harga minyak mentah di pasaran domestik negara adalah pada kadar RM336.00 setong.

Secara jelas, wujud beberapa sebab kenaikan ini berlaku. Harga minyak mentah dunia yang mencatat rekod tertinggi melebihi AS$90 setong terjadi berikutan ketegangan politik terbaru di dalam usaha menangani ‘pemberontakan’ puak Kurdis oleh kerajaan Turki yang beroperasi di antara sempadan Turki- Iraq.

Ketegangan memuncak apabila Parlimen Turki bertindak meluluskan undang-undang untuk membenarkan tenteranya melakukan operasi ketenteraan bagi membasmi puak militan Kurdis walaupun terpaksa merentasi sempadan Iraq di utara negara sedang bergolak itu.

Menurut Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC), kenaikan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa tercetus akibat kesesakan penapisan yang berterusan, kerja penyenggaraan bermusim, selain masalah geopolitik semasa di Asia Barat dan kejatuhan dolar Amerika turut menaikkan harga minyak. Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung OPEC, Abdalla Salem El-Badri, kenaikan harga minyak mentah dunia masa kini turut merunsingkan negara-negara pertubuhan tersebut, di mana kesemua 12 anggota pertubuhan itu tidak menyetujui harga minyak pada paras semasa.

 

Angkubah

OPEC meyakini bahawa secara fundamentalnya harga tinggi semasa di pasaran minyak mentah adalah tidak relevan kerana bagi OPEC pasaran dunia sebenarnya sudah mendapat bekalan yang mencukupi. Menerusi pernyataan tersebut, maka angkubah kenaikan harga minyak mentah dunia adalah mampu ditafsirkan sebagai tindakan spekulasi yang mampu menjejaskan pembangunan dunia secara lestari.

Kebimbangan juga tercetus bahawa sekiranya Ankara bertindak memasuki kawasan sempadan Iraq, maka dikhuatiri kerajaan Iraq akan bertindak menutup saluran paip pembekalan minyak yang merentasi Turki sehingga ke pasaran Eropah. Selain itu, keadaan cuaca yang tidak menentu selain peperangan dan pertelingkahan di Iraq serta ketegangan hubungan Washington-Teheran turut menjadi punca kepada kebimbangan pasaran yang melonjakkan harga minyak mentah dunia.

Walaupun lonjakan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa begitu mendadak, sehingga menimbulkan kesan langsung kepada segala bentuk tanggungan kos secara global. Namun, dalam konteks Malaysia, kerajaan memberikan jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang kenaikan bagi harga minyak dan gas sekurang-kurangnya sehingga menjelang 2008.

Namun demikian, rakyat harus bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kenaikan harga minyak pada tahun depan, sekiranya harga komoditi itu terus melonjak di pasaran antarabangsa.

Untuk rekod, bagi memberikan keselesaan kepada rakyat dengan usaha membendung inflasi, pihak kerajaan terpaksa menanggung subsidi minyak berjumlah RM19 bilion tahun 2006 iaitu lebih tinggi daripada RM16 bilion pada tahun 2005. Perlu juga diingat bahawa kadaran subsidi tersebut adalah berasaskan harga minyak semasa dunia yang berada dalam lingkungan AS$70 setong bagi tahun 2006.

Jika pada 2006 dengan kadar semasa harga minyak mentah AS$70 setong, kerajaan perlu membelanjakan puluhan bilion ringgit, maka pada 2007 dan 2008, jumlah subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan semestinya lebih besar sekiranya tidak wujud kos peralihan daripada kerajaan kepada rakyat dalam bentuk kenaikan harga atau juga pengenaan cukai tertentu.

Menerusi lonjakan harga minyak mentah dunia tersebut, maka dibimbangi bahawa ia akan mencetuskan ketidakseimbangan dari segi kemampuan pengguna untuk mendapatkan harga bahan bakar tersebut pada kadar mampu guna. Kadar kos sara hidup juga akan meningkat apabila dengan satu lonjakan harga sahaja, ia akan merebak kepada keseluruhan kos semasa kehidupan di sesebuah negara.

Menyedari bahawa dunia ini saban hari semakin global, maka rakyat harus faham bahawa Malaysia juga tidak terlepas daripada gugatan akibat kenaikan harga minyak mentah yang berlaku di peringkat antarabangsa ini. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentu sedar bahawa jika ini terus berlaku, rakyat sekali gus akan terbeban dan natijahnya akan mampu menggugat kestabilan negara.

Kerajaan begitu teliti dalam sebarang langkah tindak balas kepada kenaikan harga minyak mentah yang berlaku secara global masa kini.

Jika rakyat faham akan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan ini, maka sudah semestinya negara akan terus harmoni dan bersedia untuk mendepani sebarang masalah akibat ancaman globalisasi semasa yang jelas diperlihatkan masa kini.

Secara strategiknya, petroleum yang kini pada kadar rizab dunia sebanyak 181,532 bilion meter padu adalah bahan mentah yang begitu sensasi dan mampu mewujudkan konflik serta ketidakstabilan kepada mana-mana negara serta dunia antarabangsa seluruhnya.

* MD. SHUKRI SHUIB ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Utusan Malaysia - Rencana - 24  Oct 2007