Friday, 29 Mar 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Cara negara maju hadapi krisis minyak
Utusan Malaysia : Cara negara maju hadapi krisis minyak PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:34

 

Rencana

PADA saat dunia mengalami kenaikan harga minyak mentah, rakyat di Venezuela masih lagi boleh menarik nafas lega kerana harga petrol di sana hanyalah RM0.11 seliter jika dibandingkan dengan United Kingdom yang berharga RM7 seliter. Tapi itulah perbandingannya antara tinggal di negara pengeluar minyak atau tidak.

Baru-baru ini rakyat telah digambarkan bahawa kerajaan telah menanggung pelbagai subsidi untuk rakyat yang berjumlah sehingga RM40 bilion yang mana 80 peratus daripadanya adalah subsidi minyak. Oleh itu pelbagai langkah telah dicadangkan bagi mengurangkan bebanan ini.

Sebelum kerajaan mengambil penyelesaian jangka masa pendek untuk menangani masalah ini, langkah jangka masa panjang juga perlu dilakukan bagi mengurangkan bebanan subsidi ini.

Secara amnya, jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan adalah mengikut jumlah minyak yang digunakan oleh negara kita.

Lagi banyak kapasiti minyak yang digunakan, lagi tinggi jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.

Justeru jika kita dapat menjimatkan penggunaan minyak dalam negara kita, maka subsidi yang ditanggung oleh kerajaan juga akan dapat dikurangkan.

Di negara Eropah, penggunaan minyak dikaitkan dengan pencemaran udara. Maka bagi mengurangkan pencemaran udara, penduduk di negara Eropah digalakkan menggunakan kenderaan awam. Oleh itu, jika rakyat di negara kita juga lebih suka menggunakan kenderaan awam, maka banyak minyak dapat dijimatkan.

Oleh itu langkah utama yang perlu dilakukan oleh kita adalah meningkatkan mutu perkhidmatan kenderaan awam di negara kita. Ini termasuk penambahan bilangan kenderaan dan juga ketepatan jadualnya.

Malangnya, sehingga hari ini kita masih lagi gagal menyediakan kenderaan awam yang cekap dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Oleh kerana kos menggunakan teksi terlalu mahal, semua orang lebih suka menggunakan kenderaan sendiri bila ingin berurusan di mana-mana bandar di Lembah Klang.

Bahkan bandar Shah Alam dan Klang sendiri adalah antara bandar di Lembah Klang yang mempunyai sistem perkhidmatan pengangkutan awam dalam bandar yang agak lemah.

Kempen menggalakkan rakyat berkongsi kenderaan haruslah diteruskan semula kerana ia akan menjimatkan penggunaan bahan api dan juga mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Kesesakan lalu lintas juga telah menjadi antara penyumbang utama kepada pembaziran bahan api di negara kita. Kenderaan pengiring VIP juga harus dikurangkan kerana ia juga salah satu bentuk pembaziran bahan api.

Sistem perkhidmatan awam antara bandar-bandar utama di negara kita harus ditingkatkan. Di Eropah, kereta api menjadi pengangkutan utama bagi menghubungkan bandar-bandar utama.

Di samping dapat mengurangkan kemalangan jalan raya, kereta api juga telah dikenal pasti sebagai satu kenderaan yang dapat menjimatkan pengunaan bahan api dalam sesebuah negara.

Bagi kebanyakan negara Eropah, bilangan kenderaan baru diesel yang didaftar telah meningkat sehingga melebihi bilangan kenderaan petrol.

Di samping dapat mengurangkan pencemaran udara, enjin diesel juga menjanjikan penjimatan sehingga 30 peratus bahan api yang digunakan jika dibandingkan dengan enjin petrol.

Sebagai contohnya, jika 10 liter petrol dapat digunakan untuk perjalanan 100 km, namun bagi kenderaan diesel, 10 liter diesel dapat digunakan bagi perjalanan sejauh 150km.

Namun di negara kita kenderaan diesel masih tidak menjadi pilihan kerana pengguna akan dikenakan cukai jalan sehingga tiga kali ganda.

Jika cukai jalan ini dapat dikurangkan seperti mana kenderaan petrol, penulis percaya lebih ramai orang yang akan menggunakan kenderaan diesel ini.

Tambahan pula, majoriti masyarakat Malaysia masih menganggap kenderaan diesel lebih mencemarkan udara disebabkan asap hitam yang dikeluarkan oleh kenderaan berat di negara kita.

Di Eropah, mereka sudah sedar bahawa kenderaan petrol yang tidak mengeluarkan asap hitam ini sebenarnya lebih berbahaya jika dibandingkan dengan kenderaan diesel.

Dengan erti kata lain, jika diandaikan kerajaan menanggung subsidi minyak petrol sebanyak RM30 bilion setahun, maka jika semua kenderaan petrol digantikan dengan diesel, maka kerajaan akan dapat menjimatkan sehingga RM10 bilion setahun.

Penyelidikan sedang giat dijalankan di seluruh dunia bagi mengurangkan pergantungan manusia kepada bahan api yang berasaskan petroleum ini.

Ini bagi memastikan negara-negara pengimport minyak tidak menanggung bebanan harga minyak yang melampau jika dunia dilanda krisis bahan api suatu hari nanti.

* DR. MOHD. ROSHDI HASSAN ialah kakitangan Universiti Putra Malaysia yang sedang berkhidmat di Rolls Royce UTC, University of Sheffield, United Kingdom.