Friday, 19 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Pelaksanaan harga sebenar minyak manfaat ekonomi negara
Utusan Malaysia : Pelaksanaan harga sebenar minyak manfaat ekonomi negara PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:33

 

Pelaksanaan harga sebenar minyak dan gas di peringkat domestik akan memberi kesan ketara dalam jangka pendek, namun dalam jangka panjang ia dilihat akan memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Pelaksanaan harga sebenar membawa maksud subsidi ke atas komoditi itu akan dihapuskan. Selain itu, cukai jualan ke atas komoditi itu juga akan turut dikenakan.

Maka, sudah pasti, penghapusan subsidi dan pengenaan cukai jualan akan membawa kesan ketara kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah dalam jangka pendek.

Pakar Ekonomi Inter-Pacific Research Sdn. Bhd., Anthony Dass berkata, tanpa subsidi, harga sebenar petrol premium (RON97) adalah RM2.45 seliter, diesel pula ialah RM1.98 seliter dan Gas Petroleum Cair (LPG) adalah RM3.21 sekilogram.

Pada ketika ini, dengan adanya subsidi dan tanpa cukai jualan, pengguna di Malaysia cuma perlu membayar RM1.92 seliter bagi petrol premium, RM1.58 seliter bagi diesel dan RM1.75 sekilogram bagi LPG.

“Jika kerajaan menghapuskan subsidi, dalam jangka pendek harga barangan dan perkhidmatan akan meningkat dan menjejaskan pendapatan boleh guna isi rumah,” kata Dass kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dass berkata, dalam jangka pendek pengguna terpaksa menukar cara berbelanja dan merancang kewangan keluarga dengan lebih baik bagi mengurangkan kesan kenaikan itu.

“Ketika ini, kebanyakan isi rumah di Malaysia masih kurang prihatin mengenai perancangan kewangan keluarga.

“ Pelaksanaan harga sebenar petrol secara tidak langsung akan mendidik rakyat negara ini supaya lebih berdisiplin dalam perbelanjaan mereka,” katanya.

Menurut beliau, kadar inflasi dijangka antara 2.5 peratus hingga 3.0 peratus dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Namun begitu, dalam jangka sederhana dan panjang, pertambahan aktiviti pembangunan dan penyaluran dana pembangunan ke sektor-sektor yang layak, akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, negara harus bersedia menghadapi pelaksanaan harga sebenar minyak dan gas di peringkat domestik, sama paras dengan pasaran global. Menurut beliau, persediaan itu perlu bagi menghadapi keadaan sekiranya simpanan minyak negara terus berkurangan dan sistem subsidi sedia ada tidak lagi mampu bertahan.

Dass berkata, jumlah perbelanjaan subsidi petrol dan diesel pada tahun ini dijangka mencecah RM18 bilion hingga RM20 bilion dan jumlah tersebut mampu menampung defisit belanjawan semasa iaitu RM20 bilion.

“ Kenaikan harga minyak mentah global telah menyebabkan perbelanjaan subsidi kerajaan melonjak dan ditambah pula dengan kehilangan cukai jualan.

“ Jika subsidi dihapuskan atau dikurangkan, penjimatan itu boleh digunakan untuk mengurangkan defisit dan digunakan untuk pembangunan,” katanya.

Kenaikan harga minyak dan perbelanjaan subsidi kerajaan juga dilihat boleh menggugat pelaksanaan projek-projek pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan.

“Jika harga minyak terus meningkat, kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk subsidi berbanding projek pembangunan.

“Oleh demikian, projek-projek pembangunan yang telah dirancang di bawah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), mungkin terganggu,” katanya.

Menurut Dass, kerajaan ketika ini mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada mengekalkan subsidi, mengurangkan subsidi secara berperingkat atau menghapuskan terus subsidi petrol.

“Jika subsidi dikurangkan secara berperingkat-peringkat, maka negara juga akan mengalami pembangunan secara berperingkat.

“Jika dihapuskan sepenuhnya, maka aktiviti pembangunan juga dapat ditumpukan dengan sepenuhnya,” katanya.

Langkah terakhir itu juga akan membuat rakyat negara ini memantau dengan lebih dekat sebarang perancangan projek pembangunan kerana mereka terpaksa melepaskan keistimewaan yang dinikmati, katanya.

Untuk meminimumkan kesan kenaikan harga minyak kepada rakyat, penjimatan daripada subsidi itu juga boleh digunakan untuk meningkatkan gaji kakitangan kerajaan.

Jika subsidi petrol dihapuskan, gaji kakitangan juga perlu diselaraskan dan pelaksanaan harga sebenar runcit petrol tidak memberi kesan besar ke atas pengguna, kata beliau.