Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Untung, rugi boikot
Untung, rugi boikot PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:30

Utusan Malaysia - Rencana

ISTILAH boikot mungkin agak asing bagi masyarakat di negara ini sekitar tahun 1990-an. Ketika itu, barangkali agak kurang atau hampir tiada badan bukan kerajaan (NGO) yang menggerakkan usaha melindungi hak pengguna apabila kenaikan harga barangan keperluan terjadi.

Barangkali ketika itu juga, informasi tentang kepenggunaan turut kurang, maka tidak banyak yang kita tahu apakah tindakan paling bijak atau sesuai untuk mengajar pihak-pihak yang menaikkan harga barangan secara membuta-tuli.

Tetapi lihatlah sekarang, apabila ada sahaja peristiwa yang membawa kepada kenaikan harga barang, maka tidak ada jalan lain, boikot atau pemulauan barangan menjadi jawapannya.

Soal boikot atau pemulauan ini telah banyak kali diura-urakan, apalagi sejak abad ke-21.

Kalau harga ayam naik, kita diminta boikot untuk tidak makan ayam.

Jika harga petroleum meningkat, sekali gus membawa kepada kenaikan harga barang, kita juga diminta boikot peniaga yang mengenakan harga tinggi.

Selang beberapa hari sesudah diumumkan kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini, pesta menaikkan harga barangan menyusul, sekali gus boikot juga menjadi jalan keluar kononnya demi menyelamatkan pengguna daripada ditindas.

Terbaru, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengesyorkan pengguna supaya boikot dengan tidak ke pasar dua hari seminggu bagi memberi pengajaran kepada para peniaga yang menaikkan harga barangan keperluan.

“Saya rasa ini tindakan yang tepat pada waktunya dan cadangan dua kesatuan ini wajar disokong oleh pengguna. Tidak ada cara lain yang boleh mengajar peniaga selain boikot.

“Berbeza dengan boikot barangan makanan secara spesifik, pemulauan tidak ke pasar dua hari dilihat lebih bijak dalam usaha menjayakan boikot itu sendiri.

“Kita tidak boleh boikot daripada membeli ayam kerana kita memerlukan ayam, tetapi kita boleh memulau peniaga ayam yang mengenakan harga tinggi kerana kita ada kuasa itu,” kata Mohammad Noorizzuddin Nooh, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai semasa dihubungi Utusan Malaysia.

Katanya, tindakan boikot itu wajar memandangkan pengguna seringkali dibebani masalah apabila harga barangan melambung tinggi.

Ditanya siapa yang untung dan rugi jika boikot ini berjaya, beliau berkata: “Senario ini hanya bermusim. Kalau rugi, sudah tentu pengguna Melayu kerana kenaikan harga ini berlaku semasa puasa dan menjelang Aidilfitri. Selepas musim perayaan berakhir, keadaannya saya percaya akan kembali seperti biasa.”

Dalam pada itu, sudah pasti kesan berantai daripada tindakan boikot ini akan menjadi tidak baik apabila masyarakat mula memboikot membeli barangan mahal. Maka akan ada pihak yang akan rugi.

Pemulauan ke atas barangan yang naik harga perlu dilakukan dengan bijaksana bagi mengelakkan pihak lain menjadi mangsa. Mangsa di sini bermakna mereka yang akan mengalami kerugian.

Di peringkat ini, Mohammad Noorizzuddin menyarankan agar kajian yang khusus mengenai tahap kenaikan harga perlu dilakukan sebelum memboikot barang tertentu.

“Boikot sebenarnya adalah hak setiap pengguna dan cara terbaik untuk membendung kenaikan harga. Bagaimanapun, ia perlu terhad kepada barang yang dinaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.”

Kukuh

Sementara itu, beliau berkata, baik MTUC mahupun CUEPACS sepatutnya perlu menyatakan dengan jelas, apakah barang yang perlu diboikot dan memberikan hujah yang kukuh untuk menyokongnya.

“Perbandingan dan analisis mengenai kenaikan harga perlu dilakukan dengan teliti kerana bukan semua barang dinaikkan harga dengan sewenang-wenangnya,” jelas beliau.

Mengulas hal sama, iaitu boikot barang yang bermula kelmarin, satu sidang media khas dibuat oleh Kementerian Hal Ehwal Pengguna di Putrajaya semalam.

Dapat dibaca hasil daripada sidang media itu, Menterinya, Datuk Shafie Apdal sedikit menyokong apa yang dicadangkan oleh MTUC dan CUEPACS itu.

Ketika kebanyakan daripada persatuan pengguna di negara ini memberi sokongan seratus peratus kepada syor berkenaan, Shafie mengambil pendekatan lebih berhati-hati – boleh boikot tetapi dengan rasional serta bijak.

“Saya tidak kata boikot membeli barang keperluan tetapi bertindak secara bijak dengan beralih ke tempat lain jika didapati barangan di tempat tertentu naik mendadak.

“Dalam hal ini, kementerian telah pun mengenal pasti tempat-tempat yang menawarkan harga berpatutan antaranya pasar raya. Kita mahu pengguna menggunakan kuasa beli yang bijak,” pesan beliau, diulang berkali-kali, setiap kali kenaikan harga barangan terjadi, disusuli boikot.

Sambil enggan memandang rendah akan pesanan atau ingatan supaya kita perlu sentiasa bertindak bijak setiap kali kenaikan harga barang berlaku, sebagai pengguna, kita mahukan satu jalan keluar yang boleh diguna pakai untuk tempoh panjang, bukan terbatas kepada satu-satu musim semata-mata.

Lalu kita percaya, trend kenaikan harga barang, boikot, amaran menteri berwajib, tindakan kurang ‘menggigit’ oleh sesetengah pihak, seolah-olah rantaian yang akan berulang setiap kali musim perayaan, setidak-tidaknya semasa sesuatu pengumuman penting melibatkan pengguna dibuat.

Setiap tahun ia bermula dengan kenaikan harga barang mendadak, kemudiannya diikuti ugutan persatuan pengguna atau NGO kepenggunaan supaya boikot, menteri berwajib membuat kenyataan, memberi gertak sedikit atau mengenakan kompaun kepada yang ingkar patuhi arahan kementerian, kemudiannya para peniaga akur. Selepas itu ia senyap untuk tempoh berminggu-minggu sebelum kemudiannya muncul semula peringkat pertama iaitu kenaikan harga barang sekali lagi.

Percayalah, itu yang terjadi tahun lepas dan nada tajuk-tajuk utama di akhbar-akhbar arus perdana berkaitan dengan hal itu, tetap serupa – tahun lepas dan tahun ini.

Yang terus menjadi mangsa, tetap orang yang sama – pengguna – manakala persatuan pengguna pula yang mendapat nama kerana dikatakan menggerak usaha bermanfaat demi menangani penindasan kepada kelompok bernama pengguna.