Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Bernama : Bentuk Pengguna Yang Mengerti Dari Usia Muda Lagi
Bernama : Bentuk Pengguna Yang Mengerti Dari Usia Muda Lagi PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:25

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama dahulu mencadangkan agar kepenggunaan diajar sebagai subjek di sekolah-sekolah untuk membentuk pengguna yang arif dari usia muda lagi.

BERNAMA mengaju beberapa soalan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) akan idea ini dan berikut adalah respons yang diberikan oleh pengarahnya Darshan Singh:

(NCCC diasaskan bersama oleh Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan bagi Pengguna (ERA Konsumer), Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

Soalan:

Adakah terdapat keperluan bagi kepenggunaan diajar sebagai matapelajaran di sekolah-sekolah?

Darshan:


Adalah sangat penting kepenggunaan diajar di sekolah-sekolah. Para pengguna perlu dididik dengan baik dan perlu dilengkapkan dengan pengetahuan jika kita mahu wujudkan satu masyarakat berpengetahuan. Buat masa ini, kepenggunaan dianggap sebagai isu remeh oleh ramai.

Jika kepentingan kepenggunaan tidak diterapkan dari mula lagi, masyarakat tidak akan tahu dan menyedari akan kepentingannya. Bersama globalisasi dan peliberalan perdagangan, kita akan terdedah kepada barangan dan khidmat dari seluruh dunia. Pasukan-pasukan pemasaran semakin kreatif dalam jualan dan strategi pemasaran.

Soalan:

Memandangkan hakikat yang rakyat Malaysia pada amnya bukan pengguna arif, adakah langkah untuk mendidik dan mewujudkan pengguna bijak dari muda sesuatu yang wajar?

Darshan:


Ya, pendidikan ialah proses berterusan. Ia perlu dipandang serius. Tanpa usaha-usaha bersepadu kita tidak akan sampai mana-mana. Setiap pengguna harus mengetahui selok-belok kepenggunaan, inilah yang kita mahu lihat.

Buat masa ini kita mendapati orangramai hanya menunjukkan minat dalam hal-hal kepenggunaan jika kepentingan mereka terjejas. Mereka melawat agensi-agensi seperti NCCC, sebagai contoh, dan itu pun hanya jika mereka tahu di mana untuk mendapatkan bantuan. Ramai masih tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan dan mekanisme penyelesaian yang mereka boleh pertimbangkan. Ini menyedihkan. Sehingga terdapat perubahan dalam minda masyarakat, status quo itu akan kekal. Sebab itulah pendidikan dari awal lagi sangat penting.

Soalan:

Sejauh mana subjek kepenggunaan boleh diajar dengan berkesan di sekolah-sekolah, misalnya, haruskah ia diajar oleh guru-guru atau para pejuang kepenggunaan seperti Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)?

Darshan:

Guru-guru harus merintis jalan dalam mengajar kepenggunaan di sekolah-sekolah. Kami akan berkongsi pengetahuan perlu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan boleh dijemput berceramah secara berjadual. NGO seperti kita berurusan dengan orang ramai setiap hari dan kami mengetahui kedudukan pengguna-pengguna Malaysia.

Soalan:

Adakah kepenggunaan diajar sebagai subjek di sekolah rendah dan menengah, diikuti di kolej dan universiti?

Darshan:


NCCC percaya subjek kepenggunaan harus bermula dari peringkat sekolah menengah. Seseorang penuntut juga harus mampu memahami isu-isu pengguna dan saya rasa seseorang penuntut pasti bersedia baginya dari peringkat menengah dan selepas itu. Seseorang mesti memahami kuasa adalah di tangan pengguna.

Kita mesti berpadu tenaga, dan perlu bertindak melalui satu suara tunggal jika sesiapa tertipu. Jika perlu, boikot kedai yang menipu pengguna dan beritahu yang lain untuk turut berbuat demikian. Kita hidup dalam ekonomi pasaran terbuka. Pada satu hari nanti kita perlu melupakan mekanisme kawalan harga dan persediaan baginya mesti bermula sekarang. Terdapat banyak kerja untuk dilakukan.

Soalan:

Adalah kepenggunaan harus diajar sebagai subjek tersendiri atau bolehkan ia diserapkan dalam kurikulum sedia ada?

Darshan:


Ia boleh diserapkan ke dalam kurikulum sedia ada. Kita tidak perlu mewujudkan subjek berasingan. Pilihan terbaik perlu diteroka oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Perhatian juga perlu diberi untuk memulih dan memperkukuh kelab-kelab pengguna di sekolah-sekolah. Kelab-kelab ini boleh mengambil bahagian dalam program-program yang dianjurkan di kawasan masing-masing yang pasti mendedahkan para pelajar dengan isu-isu pengguna. Di sinilah pertubuhan-pertubuhan seperti Fomca, NCCC dan yang lain boleh memainkan peranan. Minat perlu dijana di kalangan pelajar kerana adalah malang sekali jika mereka hanya menyertai kelab-kelab ini bagi tujuan mengisi testimonial sahaja. Mereka perlu terbabit secara langsung dan kami boleh menyediakan panduan dan bantuan.

Jika para pengguna berpengetahuan baik dalam hal ini, maka perniagaan-perniagaan akan beroperasi dengan lebih beretika memandangkan mereka akan menyedari adalah mustahil untuk menipu pengguna arif.

-- BERNAMA

oleh Jeswan Kaur