Sunday, 28 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Perkasa pertanian cara terbaik elak inflasi
Berita Harian : Perkasa pertanian cara terbaik elak inflasi PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:05
KENAIKAN harga barang keperluan, termasuk yang terbaru ayam dan roti di dalam pasaran domestik negara berada pada tahap semakin membimbangkan. Dasar pasaran kita yang terlalu bergantung kepada ukuran permintaan dan penawaran tanpa kawalan daripada pihak bertanggungjawab akan menyebabkan berulangnya krisis inflasi.
Isu ini mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia berikutan ia bersangkutan dengan kos sara hidup yang perlu ditempuhi mereka. Hanya yang menjadi titik perbezaan adalah tahap pendapatan mereka setiap bulan. Bagi golongan berpendapatan rendah seperti petani, buruh, dan pengusaha kecil, fenomena ini akan dianggap suatu yang amat membebankan.

Jika dinilai, ada beberapa faktor menyumbang kepada kenaikan harga barang ini yang secara tidak langsung membawa kepada krisis inflasi. Faktor yang dilihat paling utama adalah kenaikan harga bahan api. Kenaikan minyak di pasaran dunia yang mencecah AS$100 setong tambah merumitkan keadaan.

Pada masa sama, pasaran minyak Malaysia juga seolah-olah seperti pasaran di negara pengimport bahan bakar itu yang terlalu bergantung kepada kadar harga di pasaran antarabangsa. Lantaran itu, seperti yang diramalkan, tindakan yang bakal diambil kerajaan untuk menangani masalah itu adalah dengan mengurangkan pemberian subsidi minyak sedia ada kepada rakyat.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd Shafie Apdal, kenaikan harga minyak mentah global yang melonjak melebihi paras AS$100 setong kini memberi tekanan kepada harga minyak tempatan dan seterusnya mempengaruhi kenaikan harga barang keperluan.

Akibatnya, kenaikan harga komoditi keperluan masyarakat akan bertambah kerana ia adalah bahan tunjang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi. Industri perumahan juga akan mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak kerana memerlukan sumber minyak. Sementara itu, bebanan kos perkhidmatan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi.


Faktor lain yang turut mempengaruhi kenaikan harga barang adalah sikap pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan terhadap permintaan barang keperluan yang bersangkutan dengan keperluan isi rumah seperti gula, garam, gandum dan sebagainya.


Maka tidak hairanlah mengapa situasi ini kerap berlaku apabila menjelang musim perayaan. Situasi ini akan terus berlaku dari setahun ke setahun dan pada masa sama, harga barang itu tidak akan mengalami kemerosotan apabila berakhirnya musim itu.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa bebanan kos yang ditanggung pengusaha khususnya pengusaha Bumiputera seperti kenaikan kadar sewa dan cukai yang melampau bagi sesebuah premis perniagaan juga antara faktor kepada masalah ini.

Sebagai contoh, kadar sewa sebuah restoran di pusat beli-belah terkemuka Suria KLCC ialah RM520,000 setahun berbanding RM360,000 pada 2004 serta RM180,000 pada 2001. Situasi ini memperlihatkan bagaimana pemilik restoran Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah terpaksa menutup restorannya ekoran kenaikan kadar sewa tapak premis berkenaan.

Menurut beliau, restoran itu adalah satu-satunya milik Bumiputera di situ. Alasan yang diberikan pihak pengurusan adalah kerana mengikut harga pasaran. Maka demi mempertahankan survival perniagaan peniaga, mereka terpaksa menaikkan harga barang yang dijual.

Dalam menangani permasalahan ini, beberapa dasar kerajaan perlu diubah. Ini turut membabitkan pemerkasaan kepada dasar pertanian. Jika dilihat, pelaksanaan dasar ini hanya bergantung kepada kesanggupan politik pemimpin kerajaan.

Maka, suatu usaha perlu dilakukan untuk memastikan pemerkasaan kepada dasar ini dikekalkan walau siapa pun yang menjadi pemimpin. Sekiranya dasar pertanian kita diperkasakan, kita berupaya mengeluarkan produk bahan keperluan isi rumah dan secara tidak langsung mampu menampung permintaan kepada bahan itu. Maka, sudah tentu kenaikan harga bahan keperluan dapat dikawal memandangkan hasil pengeluaran selari dengan permintaan.

Teori ekonomi Ibnu Khaldun pernah menyatakan, untuk meningkatkan perbelanjaan rakyat, maka pengurangan bebanan seperti cukai dan harga minyak perlu dilakukan. Ini termasuk pemberian subsidi daripada kerajaan kepada peniaga khususnya Bumiputera bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga barang.

Apabila bebanan rakyat seperti kadar cukai, harga minyak, dan sebagainya berjaya dikurangkan, ia akan menggalakkan lagi rakyat berbelanja. Maka, akan bertambahlah bilangan pengusaha dan pembekal. Kesannya, kerajaan akan memperoleh semula hasil perbelanjaan rakyat itu menerusi cukai yang dikutip daripada pertambahan bilangan pengusaha dan pembekal berkenaan.

Kerajaan juga perlu menggiatkan usaha penyelidikan untuk mencari sumber alternatif kepada keperluan petrol seperti minyak kelapa sawit. Hasil daripada penemuan bahan gentian itu dapat membantu kita mengurangkan kadar kenaikan harga minyak.

Jika kerajaan tidak menangani kenaikan harga barang, inflasi akan meningkat seterusnya kos hidup mencanak sekali gus rakyat menderita.


MUHAMMAD FAISAL

ABDUL AZIZ

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).