Sunday, 28 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Mengimbangi ekonomi negara
Utusan Malaysia : Mengimbangi ekonomi negara PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:03

14 Disember 2007

 

SATU daripada arahan penting dalam mengendalikan kehidupan kita supaya berjaya ialah mengelak daripada pembaziran. Orang yang membazir dikatakan saudara kepada syaitan, iaitu seorang jahat.

Mengapakah seseorang, atau sesebuah pertubuhan termasuk kerajaan, dilarang keras daripada membazir? Jawabnya, dari segi ilmu ekonomi, pembaziran akan merampas hak orang lain daripada menikmati kehidupan yang wajar.

Setiap anggota masyarakat mendapat habuan daripada hasil-hasil masyarakat itu, daripada tanah, laut dan udaranya, dan daripada hasil usaha masyarakat itu, tidak kira sama ada dia kuat atau lemah, pandai atau bodoh, cacat atau sempurna anggotanya, sihat atau sakit.

Ini kerana tiap-tiap manusia dijadikan Tuhan dengan taraf yang mulia dengan hak- haknya dijamin oleh Tuhan. Jika undang-undang ini dilanggar oleh manusia, maka berlakulah kezaliman dan kerosakan. Sebab itu sejarah memberitahu kepada kita banyak kes keruntuhan dan kemusnahan masyarakat-masyarakat dulu.

Pembaziran timbul kerana watak manusia yang lemah. Sesetengah manusia, apabila mereka kaya dan berkuasa akan lupa daratan, menjadi tamak dan bakhil, tidak mahu mengeluarkan zakat atau cukai yang dikenakan kepada mereka dan yang gagal bersedekah daripada kekayaan mereka.

Mereka membazirkan kekayaan mereka dengan gaya hidup yang mewah dan jahat. Oleh kerana tamak dan haloba, masyarakat dan negara tidak dapat membangun – dari semua segi, material, intelektual, seni, budaya, moral dan rohaniah - termasuklah membantu fakir miskin yang wujud dalam masyarakat itu dan membasmi kemiskinan. Dalam masa jangka panjang, masyarakat dan negara itu, termasuk golongan yang kaya-raya tadi, akan musnah. Kemusnahan ini berlaku kerana negara tiada wang untuk membangun dan kerana pemberontakan daripada kalangan rakyat yang putus asa dan marah.

Pembaziran berlaku dalam pelbagai bentuk. Perbezaan pendapatan yang terlalu besar - di satu pihak, satu golongan kecil dalam masyarakat mendapat pendapatan yang terlalu tinggi dan satu golongan kecil di bawah mendapat pendapatan yang terlalu rendah; di antaranya, satu golongan yang agak besar mendapat pendapatan yang boleh dikatakan tidak cukup.

Pembaziran juga berlaku dalam kerajaan, kerana sifat-sifat tamak dan haloba tadi, melalui salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Salah guna kuasa dan penyelewengan berlaku apabila harga barang-barang yang ditempah oleh kerajaan dinaikkan dua tiga kali ganda dan dengan demikian menaikkan perbelanjaan kerajaan. Ada kalanya perbelanjaan-perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan untuk pegawai-pegawai tingginya, seperti bercuti tahunan ke luar negara terlalu tinggi dan boleh dikurangkan.

Ini boleh dikira salah guna kuasa atau penyelewengan. Kerapkali banyak masa yang dibazirkan oleh kakitangan kerajaan, termasuk pegawai-pegawai tingginya, dengan tidak memberi tumpuan selama lapan jam kepada tugas-tugas mereka. Ini bermakna kerja mereka yang boleh dihabiskan dalam masa sebulan akan mengambil masa dua bulan. Dengan itu, mereka menambah perbelanjaan kerajaan. Malaysia mempunyai bilangan kakitangan Kerajaan yang besar, 1.2 juta orang. Mungkin kita patut mengurangkan bilangan ini sebanyak satu per empat atau satu per tiga. Hal-hal ini menghendaki rakyat yang berwatak tinggi, tidak dikuasai oleh perasaan tamak haloba, dan sebaliknya mempunyai sifat-sifat jujur, ikhlas dan beramanah tinggi. Tiap-tiap rakyat memerlukan pendapatan yang cukup dan agak selesa untuk menampung kehidupan keluarga masing-masing. Jika pendapatan minimum ini dapat diwujudkan, tiada sebab sesiapa pun di negara kita merungut tentang kehidupannya!

Bagi mereka yang berusaha untuk menaikkan pendapatannya, tiada halangan bagi mereka. Mereka bebas berbuat demikian, sama ada melalui perniagaan, atau melalui peningkatan pendidikan dengan mendapat pekerjaan-pekerjaan yang lebih lumayan pulangannya. Masyarakat hanya mahu kerajaan bertindak membetulkan ketempangan dalam masyarakat dari segi kewangan dengan memberi bantuan yang cukup kepada golongan miskin dan yang cacat anggota dengan memperuntukkan sebahagian daripada kekayaan negara (melalui cukai yang berpatutan).

Walaupun kita tinggal di sebuah dunia global hari ini, kita tidak semestinya dihalang daripada menyusun sebuah dasar ekonomi dan kewangan yang berbeza dan bebas. Hari ini kita tidak bebas menyusun dasar ekonomi dan kewangan kita kerana kita bergantung kepada negara-negara lain dalam beberapa keperluan kita yang penting, khasnya makanan ruji dan pertahanan.

Untuk mengatasi perkara ini, kita mestilah menghasilkan makanan ruji yang cukup untuk penduduk kita, dan mengadakan sistem perdagangan antarabangsa yang lebih adil. Hari ini, oleh kerana Amerika Syarikat dan Eropah yang mempunyai sejarah kolonial dan imperialis yang lama mendominasi sistem perniagaan, maka perniagaan antarabangsa tidak adil bagi Dunia Ketiga dan dunia membangun. Tetapi keadaan berubah dengan pantas dan kalau kita pandai serta bijak, kita boleh mengubah sistem ini menjadi lebih adil. Dengan demikian, kita tidak perlu membeli barangan dan khidmat itu dengan harga yang mahal. Dengan itu, kita boleh mengurangkan bil import kita.

Mengikut teori ekonomi (liberal) klasik, kerajaan tidak boleh masuk campur dalam urusan ekonomi; urusan ekonomi perlu ditinggalkan bebas untuk ditentukan oleh ‘kuasa pasaran’, seolah-olah kuasa pasaran ini neutral dan bebas daripada kehendak manusia! Ini nyata tidak benar.

Oleh itu, teori neoklasik memerlukan kerajaan masuk campur. Kerajaan perlu masuk campur untuk membetulkan ketempangan yang boleh membawa kepada kerosakan masyarakat.

Saya tidak bersetuju dengan pendapat bahawa belanja hidup yang tinggi sekarang ialah kerana pemodenan masyarakat (kita perlukan institusi-institusi dan barangan tamadun moden, seperti kerajaan yang moden, kota-kota yang moden, sistem kewangan yang moden, universiti, hospital, sistem kenderaan yang moden). Semestinya institusi dan barangan ini membuat perbelanjaan kita meningkat, berbanding dengan cara hidup lama berdasarkan masyarakat pertanian yang lama.

Tetapi bilangan rakyat kita juga bertambah dan ini bermakna hasil kerja dan pendapatan negara bertambah. Apa yang menyebabkan belanja hidup meningkat ialah kerana riba (yang menaikkan kos wang dan perniagaan, yang membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, yang bertanggungjawab menaikkan belanja hidup) dan juga penyelewengan dan pembaziran dalam kerajaan dan institusi-institusi negara yang lain. Kita mestilah menghapuskan riba (riba mesti dibezakan daripada faedah untuk menutup perbelanjaan bank untuk membayar gaji kakitangan; ini tidak memerlukan lebih daripada 1 – 2 peratus).

Jika kita menghapuskan riba, penyelewengan dan rasuah - jika semua orang boleh hidup dengan kadar selesa, apa perlunya penipuan dan rasuah? Kos perniagaan akan turun, dan harga barang-barang dan perkhidmatan akan turun. Ini akan menyebabkan belanja hidup turun, walaupun kita tetap boleh hidup dalam cara hidup moden.

Bolehlah kita katakan bahawa dunia sekarang (yakni sistem liberal Barat) sudah sampai kepada penghujungnya. Sistem ini perlu diganti dengan satu sistem yang lebih adil. Di merata dunia kita sedang melihat tanda-tanda yang jelas bahawa sistem itu sedang runtuh, termasuk di negara kita. Kita akan musnah kalau kita tidak segera membetulkan ketempangan ini.

- KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia.