Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Undang-undang Perdagangan Elektronik 2006 Diluluskan
Undang-undang Perdagangan Elektronik 2006 Diluluskan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:33

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Rang Undang-undang Perdagangan Elektronik 2006, bagi mengatasi halangan yang wujud dalam menjalankan transaksi secara elektronik di negara ini, diluluskan di Dewan Rakyat Isnin.

Rang undang-undang itu mengiktiraf dari segi undang-undang semua transaksi yang dijalankan secara elektronik tetapi pada masa yang sama tidak menghalang transaksi secara konvensional.

"Dengan adanya penentuan sah, perkara itu akan memberi keyakinan kepada masyarakat secara umum untuk membuat transaksi secara elektronik," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shafie Apdal.

Beliau berkata akta yang turut menekankan aspek pelindungan pengguna itu penting bagi memastikan pengguna secara amnya mempunyai keyakinan untuk menjalankan transaksi secara elektonik.

Selaras dengan kewujudan akta itu, kementerian akan memperkenalkan risalah dan juga garis panduan bagi transaksi elektronik dan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan "Senarai semak bagi perniagaan kepada e-dagang pengguna" di Malaysia, katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu pada persidangan dewan rakyat, di sini.

Beliau berkata bagi institusi kewangan pula, garis panduan minimum berkenaan perbankan Internet telah dikeluarkan oleh Bank Negara bagi memastikan pengguna mendapat maklumat secukupnya dan diberi pendidikan berhubung terma-terma perkhidmatan perbankan Internet.

"Institusi-institusi kewangan diminta memastikan bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi Internet adalah tepat dan sama seperti yang dipamerkan," katanya.

Beliau berkata jika institusi kewangan didapati terlibat dalam perbuatan penipuan atau memberi maklumat palsu terhadap produk dan perkhidmatannya, Bank Negara akan memaklumkan kepada orang awam mengenai kesannya termasuk melalui hebahan di laman web Bank Negara.

Shafie berkata bagi pemindahan wang elektronik, terdapat garis panduan yang menyediakan kerangka asas untuk mewujudkan hak tanggungan dan tanggungjawab pelanggan serta institusi kewangan berhubung perkara itu.

Mengenai persoalan sama ada transaksi elektronik yang dijalankan sebelum ini tidak sah, Shafie berkata: "Ini tidak bermakna bahawa semua transaksi yang dijalankan sebelum penggubalan rang undang-undang ini tidak sah dan tidak terpakai.

"Sebelum penggubalan rang undang-undang itu, pengguna tidak mempunyai sebarang perlindungan", katanya.

-- BERNAMA