Sunday, 05 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Utusan Malaysia : Pengguna mesti belajar elak ditipu
Utusan Malaysia : Pengguna mesti belajar elak ditipu PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 09:55

Utusan Malaysia : 5 October 2006 

SEBAGAI pengguna kita perlu waspada terhadap penipuan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat pengeluar barangan ketika melakukan proses pembungkusan.

Justeru kita mesti sentiasa peka misalnya adakah kotak sabun serbuk diisi penuh atau hampir penuh.

Adakah bilangan batang mancis tepat seperti yang tertulis pada kotaknya. Sanggupkah kita mengira batang-batang mancis untuk memastikan ketepatan jumlahnya dan menggunakan kepekaan kita sebagai pengguna.

Barang-barang kering seperti sabun, susu tepung dan bijirin perlu dicatatkan timbang beratnya. Pengguna sekurang-kurangnya boleh menggoncang bungkusan barang yang hendak dibeli untuk membuat penilaian.

Begitu juga apabila kita membeli buah-buahan dalam tin atau yang dibotolkan.

Kerap kali kepadatan air yang digunakan untuk menjeruk buah-buahan tersebut sama dengan kepadatan buahbuahan menyebabkan susah untuk mengira berapa kepingan isinya.

Justeru adalah penting bagi pengeluar meletakkan berat buah-buahan tersebut ketika ia dikeringkan dan belum dimasukkan dalam tin atau dibotolkan.

Selain masalah ketepatan berat atau jumlah barang yang dibungkus, syarikat-syarikat pengeluar barangan juga mesti meletakkan tarikh sesuatu barangan itu dibungkus. Kebanyakan rekod pembungkusan dicatatkan dalam bentuk kod.

Tidak ada kod seragam yang digunakan malah pengguna sendiri tidak pernah diajar bagaimana untuk memahami atau membaca kod tersebut. Ini menyebabkan pengguna tidak mengambil berat peri pentingnya untuk mengetahui bila tarikh sesuatu barang itu dibungkus.

Sebenarnya barang-barang untuk pengguna harus dicatitkan tarikh bila ia dibungkus dan ia mesti dibaca serta difahami oleh pengguna begitu juga barang-barang lain seperti bateri, lampu dan sardin.

Harga unit barang yang dijual. Harga barang bagi satu unit adalah perlu untuk pembelian yang banyak kerana kebolehan pengguna adalah terhad untuk mengira ketika berbelanja di pasar raya.

Mereka tidak seharusnya terpaksa memikirkan sama ada RM1.30 bagi 1.25 kilogram barang yang hendak dibeli adalah lebih baik daripada 79 sen bagi 750 gram. Pengguna tidak boleh dibiarkan dalam keadaan terpaksa membuat pilihan antara nilai sesuatu barangan dan jumlah yang mereka perlukan.

Barangan bersaiz ‘ekonomi’ seperti yang selalu digembar-gemburkan oleh pengeluar barangan tidak selalunya benar. Malah ada kalangan pengguna yang kurang faham apa itu saiz ‘ekonomi’. Kadang-kadang saiz dan timbangan mengikut sistem British tidak diperlukan malah menambahkan lagi kekeliruan pengguna apabila membuat perbandingan dan pilihan. Penetapan sistem metrik adalah baik dan amat mudah dibuat berdasarkan kiraan 100, 300 dan seterusnya. Ini memudahkan pembayaran.

Seperti yang kita lihat, semua keterangan yang diperlukan bagi pengguna sudah pun ada.

Isunya ialah sama ada ia disediakan oleh syarikat pengeluar barangan atau sebaliknya.

Mengetahui

Pengguna mempunyai hak untuk mengetahui perkara tersebut dan mereka harus diberitahu menggunakan bahasa yang boleh mereka fahami. Kenapa tidak mereka menggunakan bahasa sendiri ketika meletakkan segala keperluan ini pada bungkusan barangan.

Sudah sampai masanya bagi pengguna mempunyai kesedaran mengenai hak untuk mendapat keadilan, bersatu dan bekerjasama bagi mengelak ditindas.

Pengguna Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa memilih produk buatan tempatan yang dijamin kualitinya. Melalui cara ini produk buatan luar akan berlambak di pasaran dan dijual pada harga yang lebih rendah. Pengguna mesti bijak membuat bajet untuk belanja terutama menjelang musim perayaan manakala pengusaha dan pengeluar pula mesti sentiasa menjaga sensitiviti agama, budaya dan pandangan antara kaum.

Secara umumnya, setiap individu dari segenap lapisan masyarakat berpandukan falsafah kepenggunaan dan kesedaran berhubung tanggungjawab sebagai pengguna.

Antara falsafah umum kepenggunaan ialah:

Mewujudkan sifat berdedikasi di kalangan pengguna iaitu perlindungan paling berkesan ialah perlindungan sendiri.

Mewujudkan pembangunan berorientasikan kepada keperluan asas manusia melalui kuasa beli kita sebagai pengguna bagi ke arah membentuk budaya hidup yang sesuai, bahagia dan tidak membazir.

Falsafah tersebut semestinya menjadi pegangan pengguna di negara kita bagi memastikan kita tidak ditipu oleh para peniaga.

- BULBIR SINGH ialah bekas Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan.