Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Berita Harian : Kabinet tentukan kenaikan tarif air
Berita Harian : Kabinet tentukan kenaikan tarif air PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 09:45

Berita Harian : 16 October 2006

Selangor serah kepada jemaah menteri cadangan naik 15 peratus.
 Kenaikan kadar tarif bekalan air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang hanya akan dikuatkuasakan selepas perbincangan lanjut diadakan dengan Kabinet dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Beliau yang dihubungi semalam berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kenaikan kadar tarif baru itu daripada Kabinet sebelum mengumumkan penguatkuasaannya kepada penduduk.

“Kerajaan negeri masih menunggu keputusan Kabinet, persetujuan kerajaan menaikkan tarif bekalan air ini pun saya ketahui menerusi akhbar hari ini (semalam).

“Sejurus kita menerima laporan penuh Kabinet kita akan laksanakannya. Ini kerana perbincangan mengenainya perlu dibuat dan diteliti daripada pelbagai aspek dan ia memerlukan pandangan banyak pihak termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU),” katanya tanpa memberitahu tarikh mesyuarat antara kerajaan negeri dan Kabinet akan diadakan.

Akhbar semalam melaporkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar tarif bekalan air di Lembah Klang sebanyak 15 peratus tetapi tempoh berkuat kuasa akan ditentukan kerajaan Selangor.

Menteri Tenaga Air dan Komunikasi Datuk Seri Lim Keng Yaik, bagaimanapun memberi jaminan kenaikan itu tidak membebankan golongan berpendapatan rendah yang mewakili 42 peratus daripada jumlah penduduk di kawasan itu. Malah, kenaikan itu dilaporkan tidak menjejaskan penggunaan air kurang daripada 20 meter padu.

Dr Mohamad Khir turut memberi jaminan kenaikan kadar tarif itu tidak akan membebankan penduduk di sekitar Lembah Klang kerana secara puratanya mereka menggunakan kurang daripada 20 meter padu air sebulan sekali gus tidak terbabit dengan kenaikan berkenaan.

“Penduduk yang menggunakan lebih 35 meter padu air sebulan yang akan merasai kenaikan kadar berkenaan. Justeru, kami berharap pengguna dapat berjimat dan mengamalkan penggunaan air secara berhemah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Nordin Abdul Hamid membantah kenaikan tarif air itu dengan menyifatkan tindakan itu membebankan orang ramai.

Nordin berkata, kenaikan sebanyak 15 peratus itu memeranjatkan rakyat dan tidak munasabah berikutan orang ramai hanya menjangkakan kenaikan tertinggi hanya mencapai 10 peratus saja.

“Rakyat sudah dibebani kenaikan harga petrol dan elektrik sebelum ini, kini dibebani kenaikan tarif air pula. Malah, ketika ini hampir 50 peratus daripada gaji kakitangan kerajaan digunakan untuk menampung pembayaran utiliti dan pengangkutan awam,” katanya.

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Prof Datuk Dr Hamdan Adnan, berkata kenaikan itu bakal memberi impak negatif kepada masyarakat kerana ia dikhuatiri meningkatkan kegiatan mencuri air dan aktiviti penukaran meter air.

“Masih ramai lagi rakyat berpendapatan rendah di Malaysia dan kita tidak mahu golongan ini terus teraniaya berikutan kenaikan ini.

“Bagaimana kerajaan boleh menjual air kepada Singapura pada harga murah sedangkan mengenakan kadar yang tinggi kepada rakyat sendiri,” katanya

Last Updated on Friday, 11 September 2009 09:51