Monday, 29 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Berita Harian - Pakej beban pembeli: Fomca
Berita Harian - Pakej beban pembeli: Fomca PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 17:24

Berita Harian - 12 September 2006

 

KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet meluluskan peraturan baru mewajibkan semua pembelian motosikal dipakej bersama dua topi keledar mendapat reaksi berbeza pelbagai pihak.

Peraturan baru itu menyebabkan berlaku percanggahan pendapat antara Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Majlis Keselamatan Jalan raya (MKJR) dan Gabungan Persatuan Superbikers Malaysia (SAM).

Presiden Fomca, N Marimuthu, berkata Fomca tidak bersetuju mengenai perkara itu dan membantah keras tindakan kerajaan yang disifatkan memaksa rakyat selain menambah beban kewangan kepada pembeli motosikal.

“Kami tidak setuju, peraturan ini mengarut. Mengapa pembeli motosikal terpaksa membelinya jika topi keledar sedia ada masih selamat digunakan.

“Lagipun ketika mahu membeli motosikal, mungkin di rumah mereka sudah ada banyak topi keledar, jadi mengapa paksa mereka beli lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy bahawa Kabinet bersetuju melaksanakan peraturan itu kerana sebahagian besar kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Sementara itu, Yang Dipertua MKJR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Salleh Yusup, berkata penunggang dan pembeli motosikal harus menerima peraturan baru itu dengan hati terbuka dan menilainya daripada sudut positif.

Presiden SAM, Datuk Ab Rauf Yusof, berkata beliau bersetuju dengan peraturan baru itu sekiranya tidak berlaku peningkatan harga motosikal apabila sistem pembelian pakej itu dilaksanakan.

“Kebiasaannya golongan berpendapatan rendah membeli motosikal berkuasa 150cc ke bawah. Justeru, bagi motosikal jenis ini adalah tidak wajar jika sistem pakej itu membebankan golongan berkenaan.

“Malah, kini motosikal juga menjadi pilihan pelajar. Dengan peraturan baru berkenaan ia sekali gus menyedarkan golongan berkenaan mengenai kepentingan memakai topi keledar termasuk di kampus.

“Walaupun usaha ini tidak begitu praktikal untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tetapi ia dilihat mampu mendisiplinkan penunggang motosikal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.