Monday, 29 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Berita Harian - Sijil halal roti High 5 tamat hampir sebulan
Berita Harian - Sijil halal roti High 5 tamat hampir sebulan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 16:49

 Berita Harian - 12 September 2006

KUALA LUMPUR: Stanson Bakeries Sdn Bhd, pengeluar roti High 5 didakwa masih menggunakan logo halal ke atas tiga produknya walaupun sijil pengesahan halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah tamat bulan lalu

Semakan menerusi direktori halal Jakim mendapati sijil pengesahan halal untuk produk High 5 Sandwich Bread, High 5 The Original Super Sandwich dan High 5 Wholemeal Bread tamat pada 14 Ogos lalu.

Berikutan ‘kesalahan’ yang berlarutan hampir sebulan itu, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Mohd Roslan Mahayudin, berkata syarikat itu boleh dikenakan tindakan kerana masih menggunakan logo halal Jakim walaupun tempoh sah sijil itu sudah luput.

Katanya, ia juga boleh dikenakan tindakan kerana menggunakan bahan haram dalam pengeluaran roti yang diisytiharkan halal jika analisis Jabatan Kimia terhadap sampel minyak yang diambil ketika pemeriksaan di kilangnya di Nilai 3, Negeri Sembilan, minggu lalu positif.

“Kita akan ambil tindakan dan mempercepatkan siasatan. Kita akan tawarkan kompaun atau bawa kes ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap syarikat induk Stanson Bakeries, Silver Bird Group Bhd, ketika dihubungi berjanji akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu. Bagaimanapun, sehingga malam tadi, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan syarikat terbabit

Sebelum itu, pegawai Silver Bird yang hanya dikenali sebagai Shirley memberitahu pegawai syarikatnya akan menghubungi Berita Harian untuk memberi penjelasan mengenai status berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin, menggesa Jakim dan KPDNHEP bertindak tegas terhadap syarikat yang melanggar peraturan penggunaan logo halal itu.

Semalam, PPIM membuat laporan polis menafikan pembabitan dalam penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengesahkan sampel minyak yang dianalisis Jabatan Kimia itu adalah minyak babi.