Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Utusan Malaysia - Cari kaedah terbaik kurang beban pengguna
Utusan Malaysia - Cari kaedah terbaik kurang beban pengguna PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 16:14

 Utusan Malaysia - 28 September 2006

SEBARANG kenaikan harga barangan atau perkhidmatan tentunya memberi kesan kepada para pengguna, lebih-lebih lagi ketika harga minyak dan barangan keperluan asas lain turut meningkat.Menyedari keadaan itu, kerajaan perlu memikirkan sebaik-baik cara berhubung cadangan menaikkan kadar tol, tetapi dalam masa yang sama tidak terlalu membebankan pengguna.Dari satu segi, kita menyedari beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan membayar pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi sehingga menjangkau RM1 bilion pada tahun lepas.

 

Tetapi, kita juga perlu juga mengambil kira bebanan yang semakin hari semakin berat ditanggung oleh pengguna ekoran kenaikan kos sara hidup.Menaikkan kadar tol bererti meningkatkan lagi perbelanjaan para pengguna lebuh raya. Inilah realiti yang perlu dihadapi oleh mereka. Mahu tidak mahu mereka ‘terpaksa’ menerima kenyataan itu.Sehubungan itu, kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk mengurangkan beban pengguna dan dalam masa yang sama kerajaan tidak perlu menanggung beban membayar pampasan yang terlalu tinggi.

Satu kaedah yang sering digunakan ialah menyerap kadar kenaikan itu kepada pengguna, tetapi ia perlu dilakukan secara berhati-hati supaya mereka tidak terlalu terbeban.Kerajaan perlu memastikan perkhidmatan yang disediakan di lebuh raya benar-benar bertaraf dunia agar berbaloi dengan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.Segala kesulitan seperti kesesakan di lebuh raya terutama semasa musim perayaan perlu diatasi segera agar ia tidak menimbulkan rungutan kepada para pengguna.

Dalam pada itu, kesedaran di kalangan pengguna amat penting bahawa segala kemudahan lebuh raya yang disediakan adalah untuk keselesaan mereka. Mereka perlu mengakui selain udara, tidak ada lagi yang percuma dalam kehidupan hari ini. Secara logiknya, para pengguna boleh mengelak menggunakan lebuh raya dengan melalui jalan-jalan raya yang semakin cantik dan selesa, tetapi dalam banyak hal, faktor masa dan jarak perjalanan juga perlu diambil kira.Pengguna perlu berkorban sedikit untuk mendapat segala keselesaan tersebut.

Menolong mengurangkan beban kerajaan bererti membantu kerajaan supaya dapat menggunakan wang penjimatan itu untuk projek pembangunan lain bagi faedah rakyat.Dengan wang RM1 bilion kos pampasan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan tahun lepas, bayangkan berapa banyak kemudahan prasarana yang boleh dilaksanakan.Kita perlu memahami bahawa kerajaan tidak boleh selama-lamanya menanggung kos membayar pampasan kepada pemegang konsesi kerana ia semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Kita berharap kaedah saling faham memahami antara kerajaan dan pengguna akan terus menjadi faktor kelancaran segala bentuk pembangunan di negara ini.