Monday, 29 Nov 2021
You are here: Home
Error
  • Error loading feed data.
Bank Negara digesa turun padang pantau syarikat insurans: Fomca PDF Print E-mail
Thursday, 01 July 2021 14:49

Federation of Malaysians Consumers Associations01 Julai 2021
SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) turun padang serta memantau syarikat insurans dan bengkel kenderaan bagi membanteras rasuah dalam industri insurans di Malaysia.

Presiden Fomca, Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan industri berkenaan mematuhi undang-undang serta terma perkhidmatan mereka.

“BNM sebagai agensi yang memantau industri insurans harus turun padang dan memantau industri insurans supaya mereka akur serta mengikut peraturan-peraturan yang terkandung dalam terma dan syarat.

“Jika BNM menerima aduan daripada pengguna, mereka juga harus siasat secara mendalam supaya gejala rasuah dalam industri insurans kenderaan dapat dibanteras,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang wajar diambil BNM bagi membanteras rasuah dalam industri insurans ketika ini.

Mengulas lanjut, Marimuthu berkata, BNM yang berfungsi sebagai pemantau bagi pihak kerajaan perlu mengambil tindakan tegas jika didapati wujud penyelewengan dalam industri tersebut.

Selain itu, katanya, BNM juga perlu merancang strategi yang sesuai untuk memantau bagi menjamin gejala rasuah dalam industri itu dapat ditangani sebaiknya.“Tindakan ini penting supaya hak pengguna lebih terjamin serta tidak akan mengambil masa lama untuk memproses tuntutan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya syarikat insurans dikehendaki menetapkan tempoh tertentu bagi memberi penerangan kepada pelanggan tentang insurans yang mereka ambil.

Katanya, ini kerana ketika ini masih ramai dalam kalangan pengguna tidak mengetahui secara jelas tentang insurans yang diambil kerana tidak diberi penerangan oleh ejen insurans.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan rasuah dalam industri insurans di Malaysia semakin menjadi barah apabila nilai kerugian atau pampasan daripada tuntutan penipuan insurans kemalangan dianggarkan mencecah RM1 bilion setahun.

Sindiket tuntutan palsu itu melibatkan pemilik bengkel, penilai kemalangan atau adjuster pihak berkuasa dan orang awam yang juga merupakan mangsa kemalangan.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/147386/BERITA/Nasional/Bank-Negara-digesa-turun-padang-pantau-syarikat-insurans-Fomca?utm_source=https://www.sinarharian.com.my/&utm_medium=Sinar Harian&utm_campaign=Bank Negara digesa turun padang pantau syarikat insurans: Fomca
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf