Thursday, 28 Mar 2024
You are here: Home
Kahwin tak jadi, lesap RM223,010 PDF Print E-mail
Written by admin3   
Friday, 16 April 2021 12:56

WASPADA 'LOVE SCAM' ALAM SIBER | Nadi NegaraApril 16, 2021 @ 10:26am
Kota Bharu: Menjalin hubungan cinta dan dijanjikan untuk berkahwin menyebabkan seorang ibu tunggal lesap RM223,010 kerana diperdaya sindiket 'Love Scammer'.

Taktik itu digunakan suspek dengan menyamar sebagai individu yang berpangkat 'Datuk' dan berkenalan dengan mangsa yang juga seorang penjawat awam berusia 44 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa berkenalan dengan suspek yang kononnya menetap di Amerika Syarikat menerusi media sosial Facebook pada November tahun lalu.

"Mangsa dan suspek kemudiannya meneruskan hubungan menggunakan aplikasi Whatsapp dan lebih kurang dua bulan selepas itu suspek memberitahu ingin menjalinkan hubungan lebih serius serta berhasrat untuk berkahwin.

"Pada Januari lalu, suspek menyatakan dalam proses berpindah ke Malaysia untuk bekerja dan mendakwa kad kreditnya mengalami masalah untuk digunakan.

"Sehubungan itu, suspek meminta wang daripada pengadu untuk pelbagai tujuan dan antara Januari hingga 9 April lalu, mangsa sudah membuat sekurang-kurangnya 59 transaksi pembayaran ke 10 akaun bank milik individu berbeza dengan jumlah RM223,010," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shafien berkata, sumber wang mangsa adalah daripada simpanan bank termasuk Tabung Haji miliknya dan anak serta jualan barang kemas.

Selain itu ia juga hasil jualan kereta yang dihadiahkan oleh bekas suaminya dan pinjaman daripada bapa serta abang pengadu serta pinjaman bank.

Beliau berkata, wanita itu disyaki ditipu apabila suspek meminta wang RM1,700 dengan alasan kononnya ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak memakai pelitup muka dan dikenakan kompaun RM1,000 serta perlu membayar RM700 sebagai kos perbelanjaan semasa ditahan.

"Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).

"Sepanjang tahun ini, sebanyak empat kes dilaporkan berkaitan Love Scammer dan ini adalah kerugian paling besar yang dilaporkan.

"Saya menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan janji manis individu yang baharu dikenali di laman sosial kerana itu adalah modus operandi scammer yang akhirnya akan membawa kepada kerugian," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/695434/kahwin-tak-jadi-lesap-rm223010

Last Updated on Monday, 19 April 2021 09:39