Berita Harian : Kesatuan, NGO yakin dividen 2008 bertambah Print
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 11:10

 

KUALA LUMPUR: Kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yakin pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menikmati dividen 6 hingga 6.5 peratus bagi 2008, berdasarkan keupayaan setakat ini.

Sambil menyambut baik dan berterima kasih kepada KWSP yang mengumumkan dividen 5.8 bagi 2007, mereka meminta pengurus dana persaraan itu supaya sentiasa mengekalkan prestasi cemerlang bagi menjamin pulangan dividen yang tinggi untuk pencarumnya. 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata pemberian dividen yang tinggi akan meyakinkan pencarum terhadap pelaburan mereka selain membuktikan kemampuan KWSP mengurus dananya.

“Kita berharap pemberian dividen bagi 2008 akan bertambah...mungkin boleh capai 6 atau 6.5 peratus. Ini sasaran yang wajar sekali gus melenyapkan rasa gusar di kalangan pencarum mengenai simpanan mereka.

“Pada umumnya dividen 5.8 peratus ini melegakan kira-kira 43,000 pencarum yang mempunyai simpanan kecil. Mereka tentu gembira kerana pemberian dividen kali ini lebih baik berbanding 2006,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mengumumkan dividen 5.8 peratus, iaitu yang tertinggi sejak 2001, dan meningkat 0.6 peratus berbanding 2006.

Omar juga berkata, Cuepacs berharap pencarum bersetuju dengan saranan KWSP agar pembayaran dividen dimasukkan terus ke dalam akaun mereka bagi meningkatkan jumlah simpanan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamed, berkata pada umumnya mereka mengharapkan jumlah pembayaran dividen yang lebih tinggi.

“Pencarum seharusnya mengharapkan dividen yang tinggi. Itu harapan mereka dan berharap akan ada peningkatan pada masa depan.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu, berkata pemberian dividen 5.8 peratus itu adalah prestasi terbaik yang perlu dibanggakan pencarum KWSP.

Beliau berkata, selagi keupayaan pengurus dana dan jawatankuasa pelaburan yang cekap dalam KWSP, pencarum tidak perlu berasa bimbang kerana pemberian dividen mengatasi faedah yang dibayar bank perdagangan.