Hati-hati penipuan jual beli barang kemas tak wujud Print
Thursday, 08 April 2021 15:17

GAMBAR hiasan.April 8, 2021 @ 2:46pm
Kuala Lumpur: Sebanyak 37 kes penipuan berkaitan barang kemas membabitkan kerugian RM239,530 diterima pihak polis bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, berdasarkan kajian, penipuan membabitkan barang kemas mencatatkan antara kes penipuan tertinggi.

"Pada 2019, sebanyak 21 kes dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM148,444 dan jumlah kes meningkat kepada 44 kes pada tahun lalu dengan kerugian RM261,954.

"Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 37 kes direkodkan dengan jumlah kerugian RM239,530," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, peningkatan jumlah kes yang direkodkan dalam kes berkenaan perlu ditangani dengan serius.

"Perkembangan teknologi dan komunikasi mewujudkan peluang perniagaan secara dalam talian kerana akses mudah dan tanpa had khususnya ketika negara berdepan penularan pandemik Covid-19.

"Ia sekali gus menjadikan platform e-dagang menjadi pilihan pengguna. Namun, perkembangan ini juga turut mewujudkan jenayah penipuan penjualan barangan tidak wujud," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk memastikan usaha pembanterasan dilakukan dengan efektif serta berkesan.

"Namun dari aspek pencegahan, pembabitan masyarakat amat diperlukan. Justeru, orang ramai digesa untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam urusan jual beli barang kemas secara dalam talian.

"Jangan mudah percaya dengan tawaran jualan barang kemas yang lebih murah dari pasaran semasa terutama apabila tawaran itu dibuat oleh pihak tidak dapat dipastikan kesahihannya," katanya.

Katanya, orang ramai juga diminta membuat semakan ketulenan transaksi dan memastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian dan kaedah diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa.

"Buat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun terbabit pernah terbabit dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.

"Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika mempunyai sebarang keraguan," katanya.

 

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/692646/hati-hati-penipuan-jual-beli-barang-kemas-tak-wujud