Consumer Alert : LINDUNGI DIRI SENDIRI DARI PENIPUAN GORES & MENANG Print
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:34

Penipuan Gores & Menang

Pengguna adalah dinasihatkan agar berwaspada sekiranya dikunjungi agen-agen syarikat Jualan Langsung seperti yang tertera dibawah :

  1. GLOTRON MARKETING SDN BHD
  2. JUTRONIC MARKETING SDN BHD
  3. TECHLIGENT MARKETING SDN BHD
  4. FANCY-ED MARKETING SDN BHD
  5. PENZONE MARKETING SDN BHD
  6. CASA SINARAN
  7. EZONO NETWORK SDN BHD
  8. WELLNIC SUPPLY SDN BHD
  9. INTOUCH WORLD
  10. BRAND HOME EQUIPMENT 

Syarikat-syarikat ini menjalankan perniagaan secara jualan langsung berkonsepkan "GORES & MENANG". Sejak kebelakangan ini pihak NCCC telah menerima banyak aduan berkaitan dengan isu ini. Agen-agen syarikat yang disenaraikan diatas banyak berkeliaran di kawasan tempat letak kereta Hypermarket dan pusat-pusat membeli-belah. Ramai juga akan berkunjung terus ke rumah mangsa.

Jangan menggunakan Kad Kredit anda untuk membuat bayaran. Anda tidak akan berpeluang untuk membatalkan transaksi tersebut kerana hanya syarikat dibenarkan untuk berbuat demikian.

Pengguna juga adalah dinasihatkan agar berwaspada apabila menerima panggilan yang mengatakan bahawa anda telah memenangi sesuatu hadiah. Anda akan dipaksa membeli barangan untuk menyertai pertandingan tersebut.

Sila buat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna sekiranya anda tertipu.

Sekian
Pengarah
NCCC

CONTOH KES

Pada hari Jumaat yang lalu, saya telah bertemu dengan seorang gadis yang datang ke kereta saya sewaktu saya menaikinya. Gadis ini seterusnya menyuruh saya membuka sampul yang diberikan kepada saya untuk mendapat tahu samada saya memenangi sebarang hadiah. Tanpa menyedari hakikatnya,serta disebabkan oleh rasa kesian kepada gadis tersebut, saya membukanya. Setelah saya membukanya, saya memberikan sampul yang terbuka kepada gadis tersebut.

Dia terus meloncat dan menyatakan yang saya merupakan antara yang bertuah dan berpeluang memenangi beberapa hadiah lumayan yang termasuk sebuah kereta Proton Perdana, Perodua Kancil, motosikal Jaguh. Dia berpura-pura seperti teramat gembira lalu mengeluarkan sekeping akhbar dengan iklan Diverse yang mengiklankan yang hadiah-hadiah lumayan berpeluang dimenangi daripada 15/06/2006 sehingga 15/06/2007 serta gambar-gambar serta nama dan no. kad pengenalan bagi pemenang-pemenang yang diiklankan sebagai telah memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan. Dia seterusnya menyatakan yang hari itu merupakan hari terakhir bagi pemberian hadiah tersebut. Seterusnya, seorang daripada rakanya yang merupakan seorang lelaki menghampiri kita dan berpura-pura bertanya mengapa rakannya sangat gembira. perempuan itu menunjukkan sampul yang telah saya buka kepadanya dengan logo yang terdapat di dalam akhbar yang telah dia tunjukkan kepada saya sebentar tadi dan lelaki tersebut juga terus perperangai seperti sangat terkejut dan gembira lalu asyik menyatakan yang saya sangat bertuah dan mengucapkan tahniah diatas tuah saya.

Seterusnya, mereka menyuruh saya kepejabat mereka di Jalan Genting Kelang untuk berjumpa dengan manager mereka yang akan menberitahu saya syarat-syarat untuk memenangi hadiah tersebut. Apabila saya sampai di pejabat mereka, beberapa orang datang dan berlakon seperti sangat gembira bagi saya dan asyik mengucapkan tahniah kepada saya kerana saya berpeluang memenangi sebuah kereta Proton Perdana atau Kancil. Mereka seterusnya mengeluarkan sebuah fail yang dipenuhi dengan potongan akhbar dengan iklan yang ditunjukkan kepada saya awal tadi serta gambar-gambar orang yang dikatakan telah memenangi pelbagai hadiah yang ditawarkan. Potongan akhbar ini adalah daripada surat khabar seperti Utusan Malaysia dan Metro.

Seorang lelaki disana yang pada pendapat saya adalah penyelia mereka seterusnya membawa sehelai kertas yang mengandungi beberapa syarat untuk memenangi hadiah-hadiah tersebut. Menurut mereka, antara syarat untuk saya memenangi kereta tersebut ialah saya perlu membayar RM4087.70 dahulu untuk membeli dua produk mereka sebelum saya berpeluang memenangi/ mengetahui hadiah-hadiah yang saya berpeluang untuk menang dengan menyatakan yang ia adalah untuk tujuan pengiklanan. Mereka mengatakan yang kos barangan yang perlu dibeli serta kos pengiklanan berjumlah RM3988 dan saya dikenakan caj RM99.70 iaitu 2.5% daripada kos membeli barangan tersebut memandangkan saya membayar menggunakan kad kredit yang mereka katakan akan dikenakan kepada mereka oleh syarikat kad kredit kepada mereka. Mereka asyik menyatakan yang kereta tersebut boleh dimenangi kerana hari itu merupakan hari terakhir bagi pertandingan tersebut lalu saya membayar wang tersebut.

Setelah saya selesai membayar wang tersebut, mereka terus menyuruh saya membuka bahagian sampul gores dan menang tersebut untuk mengetahui hadiah yang bakal diterima saya. Apabila saya membukanya, hati saya berkecai melihat gambar kerusi penggurut yang tertera. Mereka seterusnya memberikan saya kerusi tersebut dan mengucapkan tahniah lagi kepada saya. Pada ketika itu, saya rasa tertipu dan baru sedar akan helah mereka. Apabila pulang kerumah, saya melayari internet dan mendapat tahu bahawa terdapat banyak orang yang telah terkena helah sebegini. Barangan yang telah saya beli juga tidak nampak seperti ia berharga RM3988. Saya sangat berharap yang tindakan akan diambil dengan segera kerana saya sangat berharap untuk mendapatkan wang saya kembali. Sekarang saya tertekan memikirkan bagaimana hendak membayar kembali bil kad kredit saya. Disamping itu, syarikat ini berkemungkinan besar akan menutup kedai dan lari ketempat lain untuk terus menipu orang sekiranya tindakan tidak diambil dalam sehari dua, jadi saya sangat berharap yang tindakan segera akan diambil.

Ini adalah Kisah Benar

Nama Pengadu telah dirahsiakan