Rugi RM50,000 ditipu 'Tuan Lee' Print
Written by admin3   
Wednesday, 10 March 2021 08:39

Local fraud victims lose $89K in July, AugustSelasa, 9 Mac 2021 @ 7:05 PM

Melaka: Seorang wanita berusia 75 tahun kerugian RM50,000 selepas ditipu lelaki menyamar polis yang mendakwa anaknya ditahan atas kesalahan dadah, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Tuan Lee' menawarkan RM50,000 bagi membebaskan anaknya.

Katanya, mangsa yang ketakutan dan cemas bersetuju membuat bayaran bagi membebaskan anaknya dengan membuat enam kali transaksi berjumlah RM50,000 ke dalam akaun diberikan suspek.

"Selepas membuat bayaran mangsa diminta menunggu anaknya di sebuah pasar raya di Cheng untuk dibebaskan. Namun selepas menunggu hampir dua jam anak mangsa masih tidak kelihatan.

"Berasa dirinya ditipu mangsa bertindak menghubungi anaknya dan bertanya perkara berkenaan. Bagaimanapun mangsa terkejut diberitahu anaknya tidak ditahan sebaliknya sedang bermesyuarat," katanya.

Menurutnya, mangsa yang terkejut bertindak menghubungi 'Tuan Lee' namun panggilan sudah disekat, mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak pada 8 Mac 2021.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Sehubungan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Melaka memohon orang ramai jangan mudah percaya dengan individu menyamar sebagai pegawai polis menawarkan untuk membebaskan mana-mana tahanan polis.

Selain itu, katanya, orang ramai boleh membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau dengan memuat turun aplikasi 'CHECK SCAMMERS CCID' di Google PlayStore sebelum membuat urusan.

Sundra berkata, statistik kes menipu bagi membebaskan tahanan dalam lokap pada 2020 menunjukkan tujuh kes dengan kerugian RM165,500 sementara Januari sehingga Mac 2021 setakat ini membabitkan empat kes dengan nilai kerugian RM105,000.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/682286/rugi-rm50000-ditipu-tuan-lee

Last Updated on Wednesday, 10 March 2021 10:19