Periksa syarikat sebelum melabur Print
Tuesday, 15 September 2015 11:25

Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan supaya memeriksa latar belakang sesebuah syarikat supaya tidak terpedaya dengan penipuan skim pelaburan yang ditawarkan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, syarikat yang tidak mendaftar mempunyai kecenderungan untuk melakukan penipuan berbanding syarikat yang sudah menempa nama.

"Pengguna perlu memeriksa aktiviti syarikat sama ada apa yang dijalankan sah di sisi undang- undang atau semata-mata mencari mangsa yang inginkan keuntungan dengan cepat.

"Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyenaraikan syarikat yang kini dalam siasatan  atas kesalahan menganjurkan skim pelaburan yang tidak sah dan menipu pengguna," katanya ketika dihubungi.



Katanya, Sekiranya pengguna mempunyai keraguan terhadap sesuatu syarikat yang menjalankan skim pelaburan tidak sah, mereka boleh terus menyalurkan aduan kepada BNM untuk tindakan lanjut.

"Selalunya BNM akan bertindak selepas menerima aduan daripada mangsa pelaburan yang tidak menerima apa yang dijanjikan syarikat selain ada sesuatu yang tidak betul dalam dokumentasi.

"Pengguna tidak sepatutnya terpengaruh dengan sesuatu yang menjanjikan keuntungan melampau dalam tempoh singkat kerana ia hanya diadakan untuk menarik lebih ramai mangsa" katanya.

Nasib mangsa yang terjebak dengan penipuan skim pelaburan bagaimanapun masih dalam tanda tanya berikutan proses penyiasatan oleh pihak berkenaan mengambil sedikit  masa.

"Sebab itu, Kerajaan sentiasa mengeluarkan amaran supaya jangan tertipu dengan skim pelaburan biarpun pemilik syarikat menggunakan nama orang ternama sebagai senarai pelaburan.

"Kerajaan menyediakan saluran yang sah untuk melabur seperti Amanah Saham Bumiputra (ASB) supaya rakyat boleh menikmati keuntungan yang pasti pada masa ditetapkan," Katanya.

Sumber: Metro (Ahad)- Ogos