Semak Penyata Bulanan Dan Resit Anda Sebelum Terlambat !!! Print
Tuesday, 26 April 2011 05:48

Pada 4 April 2011, saya telah membeli tiket secara online untuk penerbangan Malaysia Airlines pada 27 Mei 2011 dari Sibu ke Kuching. Saya telah membelinya dengan menggunakan kad kredit Visa Ikhwan Gold.

Harga tiket yang dibeli ialah RM 416 dan mesej pengesahan pembelian tiket telah pun saya terima di dalam email saya. Namun, setelah menyemak jumlah penggunaan kad kredit saya mendapati jumlah yang saya perlu bayar ialah RM 832 iaitu berlaku gandaan jumlah yang perlu dibayar.

Saya telah membuat aduan kepada pihak maybank dan telah mengesahkan terdapat pemotongan dua kali untuk penggunaan kad kredit saya. Aduan juga telah saya lakukan kepada pihak Malaysia Airlines tetapi mengalami kesulitan.
Saya memohon penyiasatan dilakukan kepada Malaysia Airlines dan Maybank kesilapan dapat diperbetulkan dengan segera.

NCCC Action : Membawa ke perhatian MAS dan berjaya mendapatkan pulangan wang kembali ke akaun pengadu.

Nasihat NCCC : Sebagai pengguna, anda di nasihati untuk sentiasa menyemak semua penyata bulanan dan resit anda.

Resit adalah amat penting dan dinyatakan dalam Seksyen 140 (AKTA PERLINDUNGAN PENGGUNA 1999) yang mewajibkan hak pengguna untuk mendapatkan resit, ini kerana anda mampu menyemak bayaran yang dikenakan. Bagi kad kredit atau akaun simpanan pula anda di nasihati untuk meneliti semua caj caj yang dikenakan. Sebagai pengguna anda mempunyai peranan penting dengan bersikap bertanggungjawab, sekiranya anda tidak mempunyai bukti walaupun anda betul anda mengalami pengalaman yang begitu sukar atau gagal mendapatkan kembali wang atau hak anda.

Seksyen 140 (AKTA PERLINDUNGAN PENGGUNA 1999)

140. (1) Seseorang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang atau perkhidmatan hendaklah memberikan resit kepada pengguna bagi apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan yang melebihi nilai yang ditetapkan.

(2) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam subseksyen (1), pengguna hendaklah dibekal suatu resit bagi apaapa pembelian barang atau perkhidmatan jika diminta oleh pengguna.

(3) Sesuatu resit yang dikeluarkan di bawah seksyen ini hendaklah mengandungi butir-butir yang berikut:

(a) nama perdagangan dan alamat pembekal;
(b) tarikh pembelian;
(c) amaun wang yang telah dibayar bagi setiap barang yang dibeli;
(d) jumlah amaun wang yang telah dibayar termasuk suatu penyata berasingan bagi apa-apa amaun yang telah dibayar sebagai cukai;
(e) jika terpakai, buatan dan nombor model barang itu; dan
(f) apa-apa butir lain yang boleh ditetapkan dalam peraturan-peraturan.

(5) Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan.

Ms.Matheevani Marathandan
Senior Manager