Berita Harian : Menangani kenaikan harga barang keperluan Print
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 16:36

Malaysia tanggung kesan inflasi ekoran lonjakan harga minyak, krisis ekonomi negara maju

TIDAK dapat dinafikan antara faktor utama yang menyumbang kepada kadar inflasi tinggi di negara kita adalah kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia. Namun, faktor ini bukan penyumbang utama kepada masalah inflasi yang berlaku ke atas barang keperluan di pasaran tempatan.

Faktor kenaikan harga minyak mentah hanya antara faktor sampingan yang menyumbang kepada masalah inflasi yang berlaku. Walaupun kenaikan harga minyak mentah dunia naik secara mendadak, kesan kenaikan itu sebenarnya masih diserap oleh kerajaan dengan subsidi petroleum bernilai RM2.1 bilion setiap bulan, sedangkan arah aliran kenaikan harga barang keperluan harian naik mengikut keperluan dan kehendak pengguna di pasaran.

Umum mengetahui kadar kenaikan harga minyak mentah yang tinggi terpaksa ditanggung oleh semua lapisan peniaga dan pengguna di negara ini berbanding pada 1980-an dan 1990-an. Penggunaan sumber bahan api berasaskan petroleum masih lagi menjadi sumber tenaga yang efisien dan menjimatkan berbanding sumber tenaga alternatif yang ternyata lebih mahal untuk dibangunkan dan digunakan seperti sumber tenaga berasaskan bahan makanan daripada jagung, minyak sawit dan sebagainya.

Malah, penggunaan sumber tenaga alternatif seperti ini akan menambahkan lagi masalah inflasi dengan meningkatkan harga barang makanan pada kadar yang terlampau tinggi dan tidak dapat ditampung oleh semua pihak.

Negara kita mengamalkan dasar ekonomi terbuka dengan memegang kepada prinsip keterbukaan pasaran dan pada masa sama bertindak melindungi kepentingan sesetengah syarikat besar pengeluar barang keperluan harian utama di Malaysia.

Dasar melindungi kepentingan syarikat pengeluar makanan seumpamanya adalah untuk membantu syarikat pengeluar makanan seperti ini membentuk harga pasaran yang lebih tinggi daripada margin keuntungan perbandingan dengan perbelanjaan kos pengeluaran.

Kaedah ini seterusnya boleh mendatangkan keuntungan terutama dalam aspek pengeluaran produk makanan dan pertanian yang tidak menguntungkan dalam sistem ekonomi pasaran bebas. Dasar perlindungan dan kebergantungan kepada syarikat pengeluar bahan makanan utama ini adalah bagi memenuhi kehendak pengguna domestik saja dan keperluan masyarakat dalam negara.

Ia berlaku walaupun sistem pasaran bebas di kalangan pengeluar produk makanan dunia menawarkan harga lebih rendah dan kompetitif berbanding syarikat pengeluar makanan harian (gula, tepung, dan minyak masak) yang beroperasi secara domestik di Malaysia.

Ia menimbulkan masalah penyeludupan barang perlu ke luar negara. Kita tahu perkara pokok yang menjadi objektif utama syarikat perniagaan adalah keuntungan dan pengguna tidak boleh menyalahkan syarikat pengeluar kerana ingin mengaut keuntungan.

Bagaimanapun, beberapa cara dan kaedah penyelesaian kepada kesan kenaikan inflasi yang tinggi mampu dilaksanakan bagi mengurangkan kesan negatif masalah inflasi yang berlaku sekarang. Antara cara penyelesaian utama yang boleh diambil kira dan diubah adalah pada rantaian pembekalan produk keperluan harian ini.

Apabila kehendak dan keperluan pengguna domestik tidak dapat dipenuhi dan ditampung, maka berlaku gangguan pada rantaian pembekalan barang keperluan ini sehingga menyebabkan inflasi tinggi dan lebih teruk lagi barang keperluan ini tidak boleh diperoleh dalam pasaran (jika ada hanya pada kualiti yang rendah).

Masalah inflasi kini tidak boleh disamakan dengan masalah inflasi pada era 1980-an dan 1990-an. Inflasi yang berlaku sekarang berkaitan pada produk keperluan harian seperti gula, beras, susu dan tepung dan bukan pada barang/produk bersifat nilai intrinsik pengguna tertentu seperti barang berjenama atau barang yang menggambarkan kelas pendapatan bulanan.

Ia dapat diterangkan apabila arah aliran pembangunan ekonomi dunia pada masa kini jelas bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan pengguna dan bukan kepada spekulasi pembangunan yang bergantung kepada pemberian kredit di bank perdagangan untuk projek dalam intention mode.

Berpandukan kepada prinsip pembangunan perbelanjaan pengguna dalam sesebuah negara, semua negara di seluruh dunia mula menggalakkan dan merangka bentuk perancangan projek pembangunan yang menggalakkan perbelanjaan pengguna.

Malaysia juga tidak harus terkecuali dalam perancangan seumpamanya. Walaupun berlaku perubahan drastik kepada arah aliran perbelanjaan pengguna di negara kita yang dilihat bergerak rancak dengan pembukaan pasar raya besar di bandar besar dengan menawarkan pelbagai produk barang keperluan harian pada kadar rendah dibantu dengan perjanjian perdagangan bebas yang dimeterai kerajaan bersama syarikat pengedaran barang luar negara, masih wujud sekatan.

Tindakan ini tersekat apabila negara bertindak melindungi sesetengah syarikat pengeluar domestik barang keperluan harian, seterusnya menyebabkan pengguna di kawasan luar bandar terpaksa membayar lebih harga setiap produk ditawarkan apabila pembekalan barang keperluan ini dialihkan ke kawasan bandar dengan penduduknya sanggup dan mampu membayar lebih daripada harga ditawarkan dan mampu dibayar penduduk luar bandar.

Ia berlaku disebabkan pembekalan barang keperluan ini (dikeluarkan syarikat pengeluar tempatan) tidak dapat menampung kehendak dan keperluan pengguna di Malaysia yang semakin bertambah, seterusnya menyebabkan barang keperluan seperti minyak masak dan gula tidak dapat diperoleh di kawasan luar bandar.

Nilai kuasa beli pengguna di Malaysia yang semakin mengecil dan berkurangan juga menyumbang kepada masalah inflasi yang berlaku. Walaupun angka nilai ringgit yang diterima semakin meningkat sebagai gaji bulanan pengguna, kesan inflasi tinggi menyebabkan kuasa beli pengguna semakin berkurangan dan keadaan ini tidak menggalakkan perbelanjaan pengguna dalam pasaran domestik di Malaysia.

Dalam dunia globalisasi pasaran bebas, nilai kuasa beli pengguna menentukan pembangunan dan kerancakan ekonomi negara. Sesetengah negara mempunyai kadar pendapatan bulanan yang tinggi seperti Luxembourg tetapi mempunyai kuasa beli pengguna rendah.

Negara kita antara beberapa negara yang mempunyai kadar pendapatan bulanan rendah tetapi mempunyai kuasa beli pengguna yang tinggi. Bagaimanapun, trend ini mulai berubah dengan berlaku peningkatan daya saing tinggi dari negara jiran seperti Vietnam dan Thailand. Penduduk di negara jiran mula menggunakan kuasa beli yang ada pada mereka untuk menarik produk pasaran domestik Malaysia ke negara mereka secara haram.

Pengguna di Malaysia perlu digalakkan berbelanja dan menjadi kemestian untuk kerajaan menggalakkan perbelanjaan seumpamanya dengan menyediakan kehendak agregat yang selari dengan penambahan bilangan penduduk dalam negara serta selaras dengan perbelanjaan pengguna sentiasa meningkat.

Jika kehendak agregat ini tidak dapat disediakan, maka inflasi akan berlaku dengan kadar yang tinggi dan tidak dapat dikawal serta masalah sorokkan barang keperluan harian akan berlaku bertujuan untuk menaikkan harga barang lebih tinggi daripada harga pasaran yang sepatutnya.

Dalam sistem pasaran bebas, untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mapan dan bergerak ke hadapan, struktur pembekalan barang keperluan harian ini perlu dikaji semula.

Rakyat Malaysia perlu bertanyakan kepada diri mereka sendiri adakah mereka sudah bersedia untuk sistem ekonomi pasaran bebas yang memerlukan mereka berkorban dengan membayar lebih untuk mendapatkan keperluan harian mereka pada kualiti yang tinggi seperti penduduk negara maju tetapi pada masa sama golongan peniaga perlu sedar keperluan untuk bersaing secara kompetitif.

Kerajaan boleh membantu mengurangkan beban inflasi bukan lagi dengan cara orthodoks dengan memberikan subsidi secara terus dalam pelbagai bentuk subsidi bertujuan untuk mengurangkan harga barang keperluan harian, kerana ini akan menambahkan lagi kesan buruk masalah inflasi yang sedang berlaku.

Apa yang kerajaan mampu lakukan adalah dengan membina kemudahan infrastruktur yang menggalakkan perbelanjaan pengguna dan membantu mobiliti penduduk seperti projek pembangunan jalan raya dan kereta api laju.

Perbelanjaan pembangunan seperti ini akan menambahkan keyakinan pengguna domestik untuk terus berbelanja dan meningkatkan sumber pendapatan selari dengan peningkatan ekonomi dunia dan mengawal kesan inflasi yang meningkat dari hari ke hari.

Penulis adalah pelajar jurusan sarjana strategik Universiti Malaya, berkhidmat sebagai pegawai kerajaan di Putrajaya
 
2 APRIL 2008