Friday, 29 Mar 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Melestari sumber alternatif, bahan bakar
Berita Harian : Melestari sumber alternatif, bahan bakar PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:35
KENAIKAN harga minyak di pasaran dunia menimbulkan tanda tanya masyarakat Malaysia mengenai masa depan subsidi minyak. Pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini, rasional dan tahap subsidi minyak turut dibahaskan. Dengan peningkatan harga minyak yang hampir mencecah AS$100, maka tidak adil dibebankan kepada kerajaan untuk terus menampung subsidi kepada seluruh lapisan pengguna. Malah, ada cadangan supaya dikaji semula subsidi sekarang supaya tidak lagi terlalu menguntungkan golongan berpendapatan tinggi dan pihak korporat.

Pada peringkat global sejak kebelakangan ini, minyak bukan lagi satu isu semasa terhad kepada turun naik harga. Dalam perspektif lebih luas, pasaran dan simpanan minyak semasa berkait rapat dengan bentuk tenaga alternatif masa depan.
 
Di beberapa negara, dasar tenaga menjadi sama penting aspek keselamatan dan hubungan antarabangsa. Ini begitu ketara di Amerika Syarikat, Jepun, China, India dan Britain. Amerika dan Britain misalnya memperoleh sumber tenaga secara strategik dengan menawarkan dana, teknologi dan pakej pembangunan kepada negara pengeluar minyak utama menerusi syarikat minyak gergasi. Malah, sumber tenaga fosil itu juga sering kali digunakan sebagai ‘senjata diplomatik’ dalam beberapa keadaan.

Ketika ini negara pengeluar utama minyak khususnya anggota pertubuhan Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec) menguasai 80 peratus pasaran minyak dunia. Negara sekitar Teluk Parsi terutama Arab Saudi, Iran, Iraq, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah ‘telaga minyak’ dunia yang belum menerokai telaga minyak simpanan masing-masing. Arab Saudi saja mempunyai simpanan belum diteroka sebanyak 260 bilion tong, iaitu 25 peratus jumlah seluruh simpanan minyak dunia.

Harga minyak semakin tinggi di pasaran dunia sejak kebelakangan ini berpunca ada kaitannya dengan peningkatan permintaan, khususnya di kalangan negara industri dan krisis serta ketidaktentuan di beberapa buah pengeluar minyak.

Permintaan minyak di China menampakkan trend semakin membimbangkan dengan kepesatan pembangunan sektor industri dan perbandaran. Ketika ini, China menggunakan lapan peratus minyak dunia dan hampir separuh diimport. Sebagai perbandingan ketika ini China menggunakan lebih setengah pasaran minyak di China hanya dua tong perkapita setahun, berbanding 12.5 di Eropah dan 26 di Amerika. Jika pertumbuhan ekonomi di China terus meningkat, tidak mustahil krisis minyak dunia semakin parah.


Dari satu segi, peningkatan harga minyak dunia menimbulkan suasana panik di kalangan pelabur dan pengguna minyak utama. Bagaimanapun, harga minyak yang tinggi melebihi paras AS$90 (RM306) itu juga menimbulkan kesedaran baru untuk mengurangkan pergantungan terhadap minyak. Selain itu, semakin ketara desakan dan kempen untuk menggunakan tenaga secara lebih efisien, menjimatkan di samping mempergiatkan usaha mencari tenaga alternatif.


Pada 1980, minyak adalah 45 peratus sumber tenaga dunia, berbanding tahap semasa iaitu 34 peratus. Selebihnya ialah gas asli, arang batu, nuklear dan sumber biojisim. Di negara maju, penggunaan minyak lebih bertumpu kepada sektor pengangkutan, misalnya 70 peratus di Amerika berbanding 35 peratus di China. Hal ini kerana industri permotoran di Amerika masih berkembang pesat. Dalam tempoh empat tahun dari 2000 ke 2004, secara purata 17 juta kereta terjual setahun di negara itu.

Inisiatif mencari tenaga alternatif semakin ketara ketika krisis minyak dan perbalahan negara Islam di Asia Barat dengan Amerika pada awal 1970-an. Ketika itu banyak inisiatif loji tenaga nuklear dan penjanaan kuasa elektrik hidro dimulakan dengan meluas. Bagaimanapun, penggunaan tenaga lain seperti biojisim, angin, suria dan hidrogen belum dilaksanakan dengan meluas walaupun sudah dimajukan dari segi teknologi. Dasar tenaga sedia ada di pelbagai negara belum menyediakan iklim sesuai bagi bekalan dan penggunaan secara meluas.

Dari aspek alam sekitar, penggunaan tenaga berasaskan bahan api fosil menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Kesan negatif kepada alam sekitar itu berlaku ketika proses minyak dibakar dalam enjin dengan penghasilan asap, bahan cemar setempat dan gas rumah kaca.

Bagi menangani ketidaktentuan harga minyak di pasaran dunia dan masa depan sumber tenaga maka saya mencadangkan tiga langkah strategik segera dilaksanakan secara lebih menyeluruh, dipantau suruhanjaya tenaga dengan lebih terancang membabitkan seluruh lapisan masyarakat.

Pertama, mengkaji semula dasar subsidi minyak sedia ada supaya dilaksanakan secara lebih selektif menggunakan kaedah triple bottomline yang mengambil kira faktor ekonomi, sosial dan alam sekitar. ‘Tarif lestari’ yang baru dirangka perlu mendorong ke arah pelestarian tenaga, dan tidak seharusnya terlalu terikat dengan faktor populariti menjelang pilihan raya.

Sehubungan itu golongan penggubal dasar, ahli akademik, penyiar dan semua pihak yang prihatin mestilah sama-sama membantu memberi penjelasan mengenai rasional ‘tarif lestari’ berkenaan.

Kedua, mempergiatkan usaha menguruskan permintaan secara lebih lestari menerusi penggalakan pelbagai kegiatan penjimatan, mempertingkatkan kecekapan dan memberi insentif supaya pelaburan dibuat pelbagai pihak ke arah pengurangan tahap penggunaan secara pukal.

Ketiga, mempergiatkan usaha mencari sumber tenaga baru yang digunakan secara besar-besaran sama ada disepadukan dengan grid elektrik kebangsaan atau dibekalkan secara setempat. Antara potensi sumber tenaga tempatan yang murah tetapi belum dibangunkan sepenuhnya ialah biojisim dan tenaga solar. Ketika ini, usaha ke arah itu belum digembleng sepenuhnya.




Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

di Universiti Teknologi Malaysia

21 November 2007