Kesedaran dan Pengetahuan Alam Sekitar : Tanggungjawab Siapa? Print
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 14:20
Baru-baru ini kita digemparkan dengan beberapa kejadian pemusnahan alam sekitar secara besar-besaran dan tidak terkawal. Memilukan kerana beberapa kejadian tersebut berlaku dalam tempoh dan jarak masa yang terlalu dekat. Malah kejadian tersebut bukanlah yang pertama seumpamanya. Telah banyak kawasan hutan dan alam sekitar telah dicerobohi dan dimusnahkan atas alasan untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat dan negara. Lebih memedihkan akta dan undang-undang penjagaan alam sekitar boleh diubah sesuka hati mengikut keperluan semasa.

Kejadian membangunkan kawasan hutan untuk pembangunan dan residensi sehingga tidak terkawal yang hampir memusnahkan Taman Pertanian Bukit Cerakah baru-baru ini menunjukkan kejahilan, ketamakan dan begitu halobanya manusia membangunkan alam sekitar dan peliknya dalam masa yang sama manusia yang sama tidak mengerti dan memahami bahawa tindakan tersebut tidak ubah seperti orang sakit yang memakan racun bukannya ubat. Atau umpama manusia jahil membina rumah di dalam hutan padahal di sekelilingnya penuh dengan binatang buas. Rumah berfungsi sebagai tempat perlindungan, sayangnya tidurnya tidak pernah lena mengenangkan betapa bila-bila masa binatang buas akan juga menumpang tidur.

Sepanjang penulis meneruskan pengajian di peringkat Senibina Lanskap begitu banyak sekali pengetahuan dan kesedaran tentang alam sekitar yang diperolehi. Bidang seni gunaan Senibina Lanskap adalah bidang yang menggabungkan antara kemahiran dan keilmuan dalam ilmu sains (alam sekitar), kejuruteraan dan kesenian. Selain subjek studio yang melibatkan kreativiti dan rekabentuk, banyak subjek sains dan kejuruteraan dipelajari. Antaranya ialah subjek Biologi, Sains Tanah, Plant Science, Perhutanan, Kejuruteraan Awam dan Ukur Tanah. Sepanjang itu juga penulis mengikuti pelbagai kerja padang (field work) untuk mengumpul kepelbagaian spesies pokok, tumbuhan dan tanah (kerja-kerja saintifik). Alam sekitar, hutan dan tumbuh-tumbuhan menjadi mesra dan sebati dalam hidup selain dari kesukaran menghadapi kelas studio dan rekabentuk.

Justeru terbentuk secara perlahan-lahan kecintaan terhadap alam sekitar dan penulis menyedari betapa berharganya setiap zarah kehidupan walaupun kecil yang hidup dalam persekitaran alam yang kita duduki. Teringat ketika saya dan rakan sepengajian melakukan ‘jungle trekking’ di pelbagai tempat di Semenanjung Malaysia atas maksud untuk mengumpul dan mempelajari pelbagai spesies tanah dan tumbuhan secara saintifik. Teringat juga ketika menjumpai pelbagai spesies haiwan yang tidak pernah terlihat sebelum itu dan kepelbagaian pokok dan tumbuhan yang beribu genus dan spesies. Keseronokan berada di dalam hutan atau bersatu dengan alam menyebabkan penulis berfikir alangkah rugi dan naifnya anak-anak akan datang jika tiada lagi kepelbagaian spesies yang amat berharga membentuk rantaian biologi alam dan persekitaran. Antara kehilangan yang akan dirasai oleh generasi akan datang ialah :
1. Tidak dapat menyaksikan keindahan dan kesempurnaan alam yang dijadikan oleh Allah s.w.t yang mempunyai kewujudan dan keperluan berangkaian antara satu sama lain.
2. Kesan rumah hijau dan kenaikan haba di seluruh dunia kerana kehilangan sejumlah besar elemen-elemen yang dapat menyejukkan haba dunia.
3. Kehilangan sumber bioteknologi, sains perubatan dan lain-lain lagi sumber asli untuk membangunkan kelestarian hidup manusia.
4. Memudahkan lagi berlakunya kerosakan dan kesan bencana alam yang lebih besar akan terjadi kerana kehilangan unsur-unsur penahan dan penampan semulajadi. Ini akan mengurangkan kesan bencana alam secara minimum.
5. Kepincangan hidup manusia sendiri tanpa disedari kerana di dalam rantaian dan rangkaian kehidupan telah kehilangan beberapa unsur dan elemen yang diperlukan.

Sikap manusia kini tidak ubah seperti lirik dalam lagu Zainal Abidin, "Dewasa ini kita sering merayakan, perayaan yang akhirnya membinasakan, apalah gunanya kematangan fikiran, jika di jiwa kita masih lagi mentah dan muda..." dan lebih membingungkan "anak-anak tokleh merasa mandi laut...". Setiap pihak dan pelbagai golongan disiplin ilmu perlu mengambil tanggungjawab pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar ini. Contohnya karyawan seni dapat melahirkan karya seni yang menyentuh tentang aspek ini misalnya.

Kesedaran terhadap pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar seharusnya terbentuk dalam setiap jiwa insan. Ini kerana manusia sendiri mendiami alam dan alam adalah kediaman kita. Kita boleh membangunkan pelbagai unsur dan elemen alam sekitar namun dalam batas yang munasabah dan terkawal. Tragedi tsunami yang berlaku baru-baru ini turut dikaitkan dengan alam sekitar, di mana kehilangan kawasan hutan paya bakau sebagai penampan dari ombak besar telah menyebabkan kemusnahan yang lebih buruk. Lebih jauh lagi Allah s.w.t dalam firmanNYa lewat Al-Quran dengan tegas menyatakan kemusnahan manusia adalah akibat perbuatan manusia itu sendiri.

Justeru teramat penting pendidikan sedari kecil di pupuk dan di semai demi membangunkan sahsiah peribadi yang memahami peri pentingnya pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar. Kita boleh membiarkan persoalan dan permasalahan khusus tentang alam sekitar kepada ahli ilmuan dan pakar-pakar namun persoalan dan pemahaman am tentang alam sekitar sepatutnya di pupuk dalam jiwa setiap insan agar manusia bisa hidup lebih makmur dan bersatu dengan alam tanpa merosakkan kepelbagaian rantaian biologi yang sememangnya di cipta Allah s.w.t khusus untuk kegunaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.