BERHATI-HATI APABILA MENDAPATKAN KHIDMAT BENGKEL KENDERAAN Print
Friday, 01 February 2013 18:01



Antara aduan yang sering diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) ialah perkhidmatan bengkel kenderaan. Kenderaan, sama ada kereta atau motosikal merupakan aset penting bagi pengguna kerana ia merupakan keperluan harian untuk ke tempat kerja atau pergi sesuatu destinasi.

Namun begitu, akibat daripada perkhidmatan bengkel yang tidak memuaskan menyebabkan pengguna sering mengalami kerugian. Antara masalah tersebut ialah mutu pembaikan yang rendah, alat ganti tiruan atau tidak berkualiti, kerja pembaikan yang melebihi daripada apa yang diminta, bayaran tinggi dan kerja pembaikan lambat dilakukan.

Sebelum sesuatu kerja pembaikan dilakukan, anda perlu mendapatkan butiran sebut harga pembaikan terlebih dahulu. Setelah anda bersetuju dengan kerja pembaikan yang akan dilakukan serta bayaran yang dikenakan, barulah anda membenarkan kerja pembaikan dilakukan.

Anda juga perlu memastikan bengkel tersebut adalah diiktiraf oleh syarikat pengeluar kenderaan untuk keselamatan dan prestasi kenderaan anda adalah menepati piawaian yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar.   Di samping itu, anda juga perlu menyelenggara kenderaan anda berdasarkan kekerapan yang dicadangkan oleh pengeluar kenderaan, terutamanya kenderaan baru. Jangan hanya apabila kenderaan anda rosak, baru anda menghantarnya ke bengkel. Mungkin pada masa ini, kerosakan tersebut adalah rumit disebabkan penyelenggaraan yang tidak dibuat secara berkala, yang akan menyebabkan kos pembaikan lebih tinggi.

Selain itu, anda juga perlu memastikan alat ganti yang digunakan adalah alat ganti tulen. Pemasangan alat ganti tiruan atau terpakai akan menyebabkan kerosakan yang lebih kerap berlaku, dan lebih berbahaya lagi jika disebabkan penggunaan alat ganti tiruan atau terpakai menyebabkan kemalangan.

Masalah lain ialah kurangnya pengetahuan pemilik kenderaan, khususnya kaum wanita tentang masalah teknikal berkaitan kenderaan. Ini menyebabkan mereka mudah tertipu oleh kerja pembaikan yang tidak perlu,  ataupun penggunaan alat ganti yang tidak berkualiti dan kos pembaikan yang tinggi dikenakan.

Oleh itu, pengguna perlu mengetahui hal teknikal yang asas tentang kenderaan supaya mereka tidak mudah tertipu apabila mendapatkan perkhidmatan di bengkel kenderaan.

Norli Baharin
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional  (NCCC)

30 Januari 2013