Friday, 17 Nov 2017
You are here: Home
NCCC Gesa KPDNKK, MCMC Siasat Luxstyle International [Video] PDF Print E-mail
Friday, 02 June 2017 15:35

PETALING JAYA, 1 Jun (Bernama) -- Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menggesa agar siasatan dilakukan terhadap syarikat jualan runcit dalam talian, LuxStyle International Sales ApS (LuxStyle) berhubung kaedah jualan mereka yang menimbulkan tanda tanya.

Pengurus Kanan Undang-undang dan Dasarnya, Shabana Ahmad berkata setakat ini, pusat itu menerima sekurang-kurangnya 50 aduan dan jumlah tersebut meningkat setiap hari, terutama daripada golongan muda.

Katanya, pusat itu akan menghantar laporan bertulis kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia supaya menjalankan siasatan lanjut tentang perkara berkenaan.

"Lux International Sales ApS mengiklankan produknya melalui media sosial. Sesuatu barang dianggap dijual sekiranya pengguna memilih sesuatu produk dan memasukkan maklumat perhubungan mereka. Syarikat jualan runcit dalam talian itu telah menghantar notis pembayaran bagi produk yang mereka tidak pernah tempah," kata Shabana pada sidang akhbar di sini Khamis.

Oleh itu, kata beliau, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang aduan itu dan mengambil langkah perlu agar mereka tidak menjadi mangsa.

"Kami mahu pihak berkuasa berbuat sesuatu tentang perkara ini dan kami meminta MCMC supaya menyekat laman sesawang berkenaan. Ini melibatkan bidang kuasa rentas sempadan dan hanya pihak berkuasa mempunyai kuasa menyiasat perkara itu. Ada pengguna menghubungi kami bertanya sama ada mereka boleh membawa perkara ini kepada tribunal, tetapi ia juga di luar bidang kuasa mereka.

"Pemungut hutang di Australia sudah mula mendesak pengguna membuat bayaran bagi barangan berkenaan, tetapi ketika ini, kami belum terima sebarang aduan daripada pengguna di Malaysia. Kami tidak mahu ia sampai ke peringkat itu," katanya sambil menjelaskan bahawa laman sesawang terbabit sudah disekat di Australia.

Sehubungan itu, Shabana menasihati mereka yang mengunjungi laman sesawang "LuxStyle" dan menerima produk serta invois supaya tidak menghantar kembali bungkusan itu atau membuat sebarang pembayaran.

"Sekiranya syarikat itu menghantar emel kepada anda, anda boleh menyatakan kepada penjualnya secara bertulis bahawa anda tidak mahu produk berkenaan. Kami tidak kata mereka menipu kerana produk dihantar kepada pengguna, tetapi kami mempersoalkan kaedah jualan mereka.

"Ia seperti memaksa orang membeli sesuatu produk," katanya dan menambah bahawa pengguna dikehendaki menjelaskan bayaran bagi sesuatu barang dalam masa dua minggu melaui kad kredit atau kaedah pembayaran lain seperti PayPal untuk mengelak daripada dikenakan bayaran bagi peringatan kerana lewat menjelaskan bayaran.

Sejajar dengan itu, beliau menasihati pengguna agar tidak mudah memberi maklumat tentang diri masing-masing dan menyiasat latar belakang syarikat itu terlebih dahulu.

-- BERNAMA