Kredit Minimum Kad RapidKL RM3 Print
Thursday, 28 June 2012 00:00

KUALA LUMPUR - Mulai 1 Julai, penumpang RapidKL disyaratkan mempunyai kredit minimum RM3 dalam kad RapidPass masing-masing ketika menaiki bas syarikat itu. Pengarah bahagian bas kumpulan Prasarana, Zohari Sulaiman berkata, syarat baru itu bertujuan memastikan semua penumpang diliputi tambang yang diperlukan ketika menaiki bas RapidKL.

“RM3 akan meliputi tambang maksimum bagi satu perjalanan dengan bas kami. Sistem sedia ada mengenakan jumlah tambang maksimum apabila penumpang meleretkan kad mereka ketika menaiki bas. “Kemudian, bakinya dikreditkan kembali ke dalam kad mengikut tambang sebenar bagi jarak perjalanan apabila penumpang turun di destinasi mereka,” katanya dalam kenyataan semalam. RapidKL adalah anak syarikat Prasarana (Syarikat Prasarana Negara Bhd).

Zohari berkata, RapidKL kini berdepan dengan ‘pengalaman pahit’ apabila penumpang jarak dekat yang tidak bertanggungjawab menipu dengan tidak membayar tambang sepatutnya. Katanya, sistem baru ini mempunyai mesej pemberitahuan khas untuk membantu pemandu bas RapidKL mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul apabila kad RapidPass disentuh pada panel bacaan. “Terdapat mesej pemberitahuan berbeza bagi setiap masalah. Pemandu kami dilatih untuk mengenal pasti mesej yang sepadan dengan masalah tertentu.

“Pemandu kami hanya perlu mendengar bunyi mesej pemberitahuan dan bertindak dengan sewajarnya, hanya mereka yang memiliki kad RapidPass dengan nilai minimum RM3 akan dibenar menaiki bas,” katanya. Beliau berkata, pemilik kad RapidPass yang mempunyai kredit kurang RM3 boleh menambah nilai kredit mereka di kaunter Transit Aliran Ringan (LRT), mesin juruwang automatik (ATM), stesen Petronas terpilih dan kaunter Touch n Go. “Mereka boleh membayar secara tunai untuk menggunakan perkhidmatan bas kami dengan memasukkan wang ke dalam kotak wang dan tekan untuk mendapatkan resit serta menyimpan resit itu untuk tujuan pemeriksaan oleh inspektor kami,” katanya. - Bernama