Sistem Pajak gadai Konvensional Print
Monday, 01 February 2016 09:32

Keperluan kehidupan semakin dewasa ini amat memberi tekanan  kepada kewangan kebanyakkan daripada kita. Bagi sesetengah individu yang berpendapatan lumayan, perkara ini tidak mungkin tidak terlalu merunsingkan, namun bukan semua kita bernasib baik. Keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup memaksa golongan yang kurang berada melakukan apa sahaja bagi memenuhinya. Bagi yang berupaya mungkin boleh melakukan kerja tambahan.

Bagi sesetengah yang lain, pinjaman bank mungkin menjadi pilihan bagi mendapatkan sedikit lonjakan ekonomi bagi memperbaiki kehidupan mereka. Tapi bagaimana pula dengan yang lain? Dalam memenuhi keperluan hidup ini, ramai yang terpaksa berurusan dengan institusi pajak gadai konvensional yang mengamalkan riba serta caj lain ng tinggi dan memudaratkan peminjam.

Pada 2 januari 1973, Akta pemegang Pajak Gadai 1972 dan Peraturan-Peraturan Pemegang Pajak Gadai 1972 telah dikuatkuasakan di seluruh Malaysia termasuk Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran pajak gadai di Malaysia serta menjamin industry pajak gadai yang sihat di samping melindungi kepentingan pengguna.

Jika anda perlu menggadai ketahuilah perkara-perkara ini:

Barang dan Butiran – Pemajak gadai dikehendaki membawa barangan gadaian tersebut untuk mendapatkan pinjaman. Pemegang pajak gadai haruslah mencacatkan butir-butir transaksi pemajakgadaian dalam buku dan mengeluarkan surat pajak gadai.

 

Kadar Caj Faedah – Menurut Akta Pajak Gadai 1972 faedah yang dibenarkan ialah 2% atau 24% setahun. Jikalau dicaj selebih daripada jumlah tersebut adalah merupakan satu kesalahan.

Tempoh Gadaian – Tempoh gadaian ialah selama enam bulan, tetapi gadaian juga boleh ditebuskan pada bila-bila masa. Sekiranya tidak dapat menebus gadaian sebelum tamat tempoh pemajak gadai boleh memberitahu kepada pemegang pajak gadai untuk melanjutkan tempoh masa tidak kurang daripada tiga bulan. Setiap butir lanjutan hendaklah dibuat dalam buku pemegang pajak gadai dan juga dalam surat pajak gadai.

Sekiranya pemajak gadai gagal menebus sebelum tampat tempoh, barangan gadaian boleh dilupuskan. Pinjaman yang kurang daripada RM200.00 akan menjadi milik pemegang pajak gadai secara automatik. Jikalau pinjamannya melebihi RM200, ia hanya boleh dilupuskan melalui lelongan awam oleh pelelong berlesen.  Pemegang pajak gadai juga boleh membuat tawaran untuk membeli barang gadaian tersebut.

Hak Anda Sebagai Pemajak – Wang lebihan lelongan adalah hak mutlak pemajak gadai. Pemegang pajak gadai dikehendaki memberitahu pemajak gadai mengenai jualan itu melalui surat berdaftar dalam tempoh tujuh hari dari had lelongan dan menghantar penyata menunjukan lebihan berkenan. Jika pemajak gadai tidak menuntut  lebihan  berkenan dalam tempoh empat bulan, pemegang pajak gadai berkenan dikehendaki membayar wang lebihan tersebut kepad akauntan Negara(Kerajaan) dalam masa 14hari. Pemajak gadai masih boleh menuntut lebihan itu daripada perbendaharaan.

Dalam tempoh empat bulan selepas pelelongan, pemegang pajak gadai hendaklah membenarkan pemegang surat pajak gadai itu memeriksa catatan mengenai jualan itu dalam buku pemegang pajak gadai. Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 memperuntukan salinan surat pajak gadai diberikan secara percuma dengan tidak berlengah. Walau bagaimanapun perkara yang biasa dipraktikkan oleh pemegang pajak gadai untuk membuat laporan polis dan seterusnya mendapatkan surat sumpah daripada Pesuruhjaya sumpah. Pemegang Pajak Gadai mempunyai tanggungjawab untuk menjaga barang-barang gadaian itu dengan cermat dan bersungguh-sungguh sebagaimana menjaga harta bendanya. Pemegang Pajak Gadai hendaklah bertanggungjawab bagi kehilangan atau kerosakan barang gadaian.

Jikalau berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak. Nilai gadaian itu hendaklah bagi maksud pampasan kepada pemajak gadai itu dikira sebagai satu perempat lebih daripada jumlah pinjaman. Pemegang Pajak gadai hanya perlu membayar jumlah pinjaman + 25% lagi kepada pemajak gadai sebagai pampasan. Nilai pampasan tersebut adalah tidak memadai dan juga tidak adil tetapi inilah diperuntukan dalam Akta Pajak gadai 1972.


Sumber: BH- 31 Ogos 15