Tuesday, 19 Mar 2024
You are here: Home
ADUAN SEKTOR AUTOMOTIF MENINGKAT 12 PERATUS PDF Print E-mail
Friday, 27 June 2014 14:25

KUALA LUMPUR 24 Jun - Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima 4,915 aduan daripada pengguna terhadap pengeluar kereta tempatan membabitkan jumlah kerugian RM22.2 juta sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan nilai kerugian RM9.5 juta.

Pengerusi NCCC, Datuk N. Marimuthu berkata, kebanyakan aduan berkaitan kereta baharu yang mengalami kerosakan dan tidak ada langkah sewajarnya diambil pihak pengeluar kenderaan bagi mengatasinya menyebabkan ia berlarutan dalam tempoh lama.

"Kami juga menerima aduan berhubung khidmat selepas jualan yang tidak mencapai tahap memuaskan, tidak menepati jaminan malah pengguna kesal kerana syarikat-syarikat itu hanya mementingkan keuntungan semata-mata," katanya dalam sidang akhbar pada seminar dan pelancaran Laporan Tahunan Aduan NCCC 2013 di sini hari ini.

Laporan itu antara lain mengandungi analisis, tindakan undang-undang, kaedah penyelesaian dan pertikaian yang dilaksanakan oleh NCCC.
Marimuthu yang juga Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata, NCCC mengendalikan 20 jenis aduan pengguna dari pelbagai industri termasuk pembelian barang dan perkhidmatan.

Tambah beliau, aduan tertinggi adalah berkaitan produk am, diikuti sektor telekomunikasi, perkhidmatan peruncitan dan e-dagang, automotif dan industri pelancongan.

"Mana-mana syarikat yang memberi perkhidmatan atau produk perlu proaktif dalam menangani aduan pengguna mereka.

"Sekiranya mereka tidak beri perhatian terhadap aduan pelanggan, pengguna akan mencari syarikat lain atau memboikot dan akhirnya menjejaskan perniagaan mereka sendiri," katanya.

 

artikel daripada Utusan Online