Thursday, 28 Mar 2024
You are here: Home
Pesara dakwa ditipu anak saudara PDF Print E-mail
Written by admin3   
Wednesday, 22 September 2021 13:24

Mangsa meminta isterinya membuat transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun yang dikatakan milik ASP. - Foto hiasan NSTPSeptember 22, 2021 @ 10:42am
KUANTAN: Seorang pesara membuat laporan polis mendakwa kerugian RM16,000 selepas ditipu anak saudaranya, bagi melepaskan anaknya yang ditahan polis bagi kesalahan berkaitan dadah, Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 62 tahun mendakwa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki kononnya anggota polis berpangkat asisten superintenden (ASP) pada 6 Julai lalu, berhubung tangkapan anaknya oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

"Suspek mendakwa boleh membantu melepaskan anaknya, namun perlu berurusan dengan anak saudaranya berhubung prosedur selanjutnya dan wang RM16,000 perlu disediakan bagi tujuan itu," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa meminta isterinya membuat transaksi pemindahan wang secara dalam talian sebanyak empat kali ke akaun yang dikatakan milik ASP itu di antara 17 dan 25 Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas dihubungi polis pada 31 Julai lepas memaklumkan anaknya akan dihantar ke Simpang Renggam, Johor menyebabkan dia menghubungi anak saudaranya, bagi mendapatkan penjelasan dan pemulangan wang yang dibayar.

Katanya, suspek enggan berbuat demikian sehingga semalam, menyebabkan mangsa membuat laporan di IPD Jerantut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

 

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/09/867119/pesara-dakwa-ditipu-anak-saudara