Friday, 29 Mar 2024
You are here: Home
4 ditahan disyaki tipu berkait tuntutan insurans tak wujud PDF Print E-mail
Written by admin3   
Friday, 06 August 2021 12:42

Ogos 5, 2021 @ 8:12pm
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu, termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit kegiatan penipuan berkaitan tuntutan insurans tidak wujud.

Semua suspek ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Kuchai Lama, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kes penipuan panggilan telefon, kononnya daripada syarikat insurans yang mendakwa pengadu membuat tuntutan palsu bernilai RM78,800.

"Pengadu juga didakwa terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram dan diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun bank diberikan, kononnya bagi menyelesaikan perkara itu.

"Bagaimanapun, pengadu yang menyedari cuba ditipu kemudian membuat satu laporan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Madisham berkata, susulan laporan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah premis di Jalan Kuchai Lama, yang membawa kepada penahanan empat individu termasuk seorang wanita berusia 26 hingga 39 tahun, semalam.

"Kami turut merampas 25 telefon bimbit pelbagai jenama dan tiga komputer riba dalam serbuan itu. Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai sudah beroperasi selama tiga bulan.

"Kami percaya tangkapan empat individu berkenaan dapat menyelesaikan lima kes penipuan membabitkan kerugian berjumlah RM595,122 yang sedang disiasat JSJK di beberapa kontinjen," katanya menambah, semua yang ditahan direman sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon yang menyamar sebagai ejen insurans, pegawai polis, pihak mahkamah dan pihak bank.

"Buat semakan dengan agensi berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Jangan mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

"Buat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman sesawang, http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

 

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/08/847704/4-ditahan-disyaki-tipu-berkait-tuntutan-insurans-tak-wujud