Friday, 19 Apr 2024
You are here: Home
WASPADA : SAMBUNG BAYAR ANSURAN SEWABELI KENDERAAN TANPA PERTUKARAN NAMA PDF Print E-mail
Thursday, 30 August 2012 04:16

 

Menolong orang dalam kesusahan sememangnya perbuatan yang sangat mulia apatah lagi melibatkan soal kewangan. Dalam situasi ini tidak ramai yang suka membantu. Namun pertolongan yang dihulurkan bukanlah bermaksud membeli atau menempah risiko. Ia hanya sekadar pertolongan menyambung bayar kenderaan kenalan kerana niat ingin menolong dan sekali gus mendapt kenderaan dengan mudah tanpa perlu melalui urusan dengan pihak berkuasa dan institusi kewangan.

 

Sebenarnya urus niaga seperti ini hendaklah dielakkan. Terdapat banyak cara lain yang boleh digunakan untuk membantu. Untuk pengetahuan urus niaga menyambung bayar kenderaaan tanpa penukaran hak milik banyak mengundang masalah, terutamanya dari segi penipuan kemalangan, tuan kenderaan asal meninggal dunia dan juga kecurian.

 

Walau apapun surat perjanjian yang dilakukan, ianya tidak akan membantu jika berlaku sebarang penipuan. Ini kerana tuan punya asal masih lagi mempunyai kuasa mutlak ke atas kenderaan tersebut dan boleh menuntut pada bila-bila masa. Semestinya hak menyambung bayar kenderaan akan terlucut serta merta.

Keadaan akan menjadi lebih rumit jika tuan punya asal kenderaan meninggal dunia. Waris yang layak boleh mengabaikan apa juga perjanjian yang termeterai dengan tuan punya asal kenderaan sebelum itu dan berhak menuntut kenderaan pada bila-bila masa. Ternyata orang yang menyambung bayar kenderaan tidak boleh berbuat apa-apa selain menyerahkan kenderaan tersebut apabila dituntut oleh waris, padahal anda yang membayar ansuran bulanan. Tidak adil bukan?

Jika kenderaan itu dicuri atau mengalami kemalangan teruk, segala tuntutan ansuran hanya boleh dibuat oleh tuan punya kenderaan yang berdaftar sahaja.Dan jika melibatkan kerosakan teruk akibat kemalangan dan perlupusan kenderaan perlu dilakukan, maka pembayaran selepas ditolak baki pinjaman, hanya akan dibayar kepada tuan punya asal kenderaan oleh penanggung insurans.

Oleh itu, anda yang bukan tuan punya asal kenderaan walaupun sah dari segi perundangan dan perlindungan insurans tidak akan mendapat apa-apa bayaran. Namun jika anda berniat untuk membantu kenalan, usahlah bimbang jangan mengambil risiko besar dengan tidak menukar hak milik kenderaan. Carilah jalan terbaik dengan menasihati tuan punya kenderaan asal untuk berbincang dengan institusi kewangan. Terdapat pelbagai pakej menarik yang ditawarkan. Lakukan penjadualan semula pembayaran atau penyerahan kenderaan kepada insitusi kewangan sebelum tamatnya notis jaduan keempat iaitu notis peringatan terakhir sebelum kenderaan ditarik.

Pilihlah langkah yang selamat dan tidak merugikan anda. Janganlah mengambil risiko menyambung membayar kenderaan tanpa menukar hak milik kerana tiada sesiapa pun boleh meramal apa yang bakal berlaku di kemudian hari.

sUMBER : UTUSAN MALAYSIA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

 

 

Last Updated on Thursday, 30 August 2012 04:22