Friday, 19 Apr 2024
You are here: Home
PERKUKUH PERLINDUNGAN PENGGUNA TERHADAP JUALAN KREDIT PDF Print E-mail
Tuesday, 04 August 2015 12:04

OLEH DATUK DR MARIMUTHU NADASON
Memang menjadi kebiasaan pada masa ini pengguna membeli barangan secara kredit atau ansuran. Biasanya ia melibatkan barangan yang berharga ratusan atau ribuan ringgit. Dengan wujud perniagaan yang menawarkan kemudahan ini, ramai pengguna yang mampu memiliki baranganseperti perabot, barang elektrik, kenderaan dan sebagainya. Malah wujud syarikat yang khusus menawarkan perkhidmatan untuk memudahkan pengguna membeli barang secara kredit.

Dari segi perundangan, perniagaan yang menawarkan perkhidmatan jualan secara kredit atau ansuran ini tertakluk di bawah Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010). Namun begitu, terdapat juga perniagaan yang tidak dikawal selia oleh akta ini, seperti skim bayaran mudah, flexi kredit dan sebagainya.

Semenjak kebelakangan ini terdapat banyak isu berkaitan syarikat yang menyediakan perkhidmatan jualan secara kredit. Antaranya, wujud kegiatan mengugut atau mengancam pengguna yang gagal menjelaskan tunggakan ansuran bulanan.

Berdasarkan aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional, (NCCC), iaitu bahagian aduan FOMCA, pengadu telah dihubungi oleh pihak syarikat dan menyatakan beliau mempunyai tunggakan bayaran ansuran perabot. Walhal, bayaran perabot tersebut telah dilangsaikan beberapa tahun yang lalu. Pemungut hutang juga bertindak mengugut pengadu jika tidak membuat bayaran.

Tindakan ugutan yang dilakukan oleh pemungut hutang ini perlu dipandang serius. Tindakan ini tidak sewajarnya dilakukan. Syarikat seharusnya perlu bertanggungjawab mengemas kini pembayaran pengguna agar kesilapan maklumat tidak berlaku.

Kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa mereka perlu mendapatkan surat pelepasan daripada syarikat-syarikat tertentu, kerana mereka menganggap pengesahan secara lisan oleh syarikat itu merupakan keputusan akhir untuk ansuran yang diambil oleh mereka. Surat pelepasan boleh dijadikan sebagai bukti bahawa pengguna telah melangsaikan bayaran ansuran daripada syarikat terbabit.

Tidak dinafikan, ramai pengguna memerlukan skim bayaran ansuran bagi menggurangkan beban kewangan mereka serta mempermudah pembelian barangan isi rumah untuk menghiasi rumah mereka, terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya Adilfitri, Tahun Baru China, Deepavali dan perayaan lain-lain .

Pengguna perlu memahami kontrak skim bayaran mudah. Pengguna  juga perlu mengesahkan caj faedah sebelum menandatangani sebarang perjanjian dan membandingkan penawaran faedah dengan syarikat lain. Hal ini disebabkan bayaran ansuran mungkin kelihatan mudah untuk dibayar, tetapi sebaliknya mungkin membayar dua kali ganda daripada harga asal disebabkan oleh kadar faedah dan caj-caj lain.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah meguatkuasakan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2012 pada 1 Oktober 2012. Peraturan ini bertujuan untuk melindungi pengguna yang membuat urus niaga secara kredit atau ansuran.

Peraturan ini telah mewajibkan penjual dan pemberi kemudahan kredit untuk memaklumkan kepada pengguna secara lisan dan bertulis mengenai beberapa maklumat penting sebelum urus niaga secara kredit dilaksanakan, seperti kadar faedah yang dikenakan, jumlah harga barangan termasuk faedah, caj sampingan, caj bayaran lewat dan formula pengiraannya. Selain itu, peraturan ini juga telah menetapkan beberapa perkara seperti berikut:

I.    Tidak membenarkan penjual ataupun pembeli menerima, memberi kemudahan kredit mengenakan lebih daripada satu fi pemprosesan dokumen bagi pembelian melebihi satu barangan dengan satu transaksi;
II.    Kadar faedah tidak boleh diubah selepas perjanjian jualan kredit ditandatangani;
III.    Pengguna tidak boleh dikenakan sebarang bentuk fi jika permohonan kredit tidak diluluskan; dan
IV.    Pengguna tidak boleh dikenakan penalti jika membuat penyelesaian awal pembayaran.

Namun, jumlah caj kadar faedah yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat tidak dikawal oleh mana-mana badan atau agensi. Terdapat aduan tentang kadar faedah yang diberikan oleh syarikat agak tinggi. Oleh itu, pengguna perlu bijak  membuat perbandingan harga dan caj kadar faedah yang ditawarkan.

Pengguna boleh membuat aduan sekiranya terdapat syarikat-syarikat yang tidak mematuhi peraturan-peraturan ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui aduan atau boleh menghubungi nombor hotline 1800 886 800 atau memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Gunakan hak anda untuk memilih dan membuat keputusan dalam pembelian!.

Penulis adalah Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).