Complaints - Scam Kad Kredit Print
Written by Administrator   
Thursday, 22 July 2010 22:25

Pada 18/6/2010 (Jumaat) jam 2.30 petang, saya telah menerima panggilan dari seorang bernama Puan Y dan mendakwa menelefon untuk mendapatkan pengesahan berkaitan kad kredit yang saya gunakan.

Kemudian, beliau mula bercerita tentang kad servis/lampiran kad kredit yang ditawarkan oleh syarikat beliau. Menurutnya, kad tersebut adalah penghargaan sebagai pemegang kredit kad (mana-mana bank) dan mula meminta maklumat-maklumat peribadi untuk menikmati kemudahan kad servis tersebut seperti kemudahan tow truck, PA insurans, pakej percutian dan lain-lain.

Antara maklumat yang diminta ialah no kad kredit, no plat kenderaan dan nama isteri (utk waris insurans).

Saya mencurigai perkhidmatan/kemudahan kad yang ditawarkan lalu bertanyakan adakah terdapat sebarang bayaran atau tidak. Beliau menyatakan kad tersebut akan dipos ke rumah/pejabat dalam masa terdekat dan bayaran berjumlah RM 599 (yuran promosi) akan dicaj ke kredit kad saya. Yuran pada kadar biasa adalah lebih RM 2,000. Namun apabila saya menyatakan tidak berhasrat untuk mengambil kad tersebut, beliau berkata kad tersebut adalah wajib bagi setiap pemegang kad kredit dan disebabkan nama saya terdapat dalam senarai beliau, jadi saya tidak boleh menolak (THIS IS RIDICULOUS!!). Dia juga berkata kad akan tetap dihantar sama ada saya mahu atau tidak. Saya tetap berkeras untuk tidak menerima kad itu kerana ia telah berbunyi sebagai paksaan dan ugutan. Dengan nada keras, beliau telah mengakhiri perbualan telefon dengan mengatakan beliau akan tetap menghantar kad tersebut dan mengenakan caj kepada saya.

Saya berharap pihak NCCC dapat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa atau menyiasat aktiviti tidak bertanggungjawab yang dijalankan oleh Puan Y dan konco-konconya ini bagi mengelak pengguna-pengguna lain dipaksa dan diperdaya untuk membayar yuran kad servis yang diragui manfaatnya.

Nasihat NCCC

Pengadu tersebut tidak ada sebarang maklumat mengenai pihak syarikat yang menelefon. Jika pengadu mengetahui nama pihak syarikat, NCCC akan membuat tindakan dengan memberi malumat tersebut kepada penguatkuasa Kementerian untuk penyiasatan dan mengambil tindakan disisi undang-undang. Jangan terpengaruh dengan perkataan atau ugutan sesiapa. Pengguna mempunyai hak untuk mendapat maklumat sepenuhnya sebelum mengambil kad dan sila rujuk kepada pihak berkuasa adakah maklumat yang diterima benar.

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

 

Last Updated on Thursday, 22 July 2010 22:27